Kuota 300 liter RON95 bersubsidi sekat aktiviti penyeludupan
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Keputusan Kerajaan MADANI mewujudkan kuota pembelian petrol bersubsidi RON95 kepada 300 liter sebulan bagi setiap individu memiliki lesen memandu aktif menerima pujian banyak pihak, sekali gus disifatkan sebagai langkah efektif dalam usaha membasmi aktiviti penyeludupan bahan api petrol, khususnya di kawasan sempadan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berpendapat, apabila harga petrol subsidi di Malaysia jauh lebih rendah, RM1.99 seliter berbanding negara jiran seperti Thailand atau Singapura, ia mewujudkan insentif besar kepada kegiatan penyeludupan bahan api.
''Dengan mengenakan harga pasaran semasa untuk penggunaan melebihi 300 liter, ia secara automatik menghapuskan keuntungan yang boleh diperoleh daripada kegiatan penyeludupan.

''Ini bukan sahaja mengelakkan ketirisan dana awam, tetapi memastikan bekalan domestik stabil dan tidak dieksploitasi untuk pasaran luar negara.
''Langkah berkenaan adalah penting untuk melindungi ekonomi negara dan pada masa sama memastikan subsidi dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai subsidi itu yang antara lain bertujuan mengelakkan penyeludupan terutama di kawasan sempadan dengan kerajaan menetapkan kuota pembelian 300 liter berbanding sistem subsidi pukal pada waktu ini yang membenarkan pembelian RON95 tanpa had.
Selepas 30 September, sebarang pembelian lebihan akan dikenakan harga pasaran semasa RM2.60 seliter, hampir sama seperti harga di Thailand atau Singapura.