Kuota 30% kepimpinan wanita mampu memperbaiki struktur sosial
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Perjuangan menetapkan kuota 30 peratus kepimpinan wanita tidak boleh dilihat sebagai tuntutan angka semata-mata, sebaliknya mesti berasaskan prinsip amanah, nilai dan tanggungjawab moral dalam memimpin masyarakat.
Aktivis KEADILAN Kelantan, Aina Naziratul Aini Sayuty (gambar) berkata demikian ketika mengulas dua perkembangan semasa yang menurutnya memberi pengajaran tentang makna kuasa dan kepimpinan wanita.
Pertama, beliau menyambut baik keputusan Wanita UMNO baru baru ini yang memperjuangkan kuota 30 peratus kepimpinan wanita untuk dimaktubkan dalam perlembagaan parti, yang disifatkan sebagai langkah pengiktirafan terhadap kebolehan dan sumbangan wanita dalam menentukan hala tuju perjuangan politik.
Namun bertentangan hal itu, Aina berkata, negara khususnya rakyat Kelantan dikejutkan dengan kes seorang wanita yang diburu pihak polis kerana dipercayai mengetuai sindiket dadah, susulan rampasan ganja bernilai puluhan juta ringgit oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpotensi merosakkan lebih 104,000 nyawa jika terlepas ke pasaran.
"Wanita yang selama ini kita kaitkan dengan sifat keibuan, mendidik, malu dan menjaga kehidupan, kini terpampang sebagai wajah jenayah terancang.
"Ada yang menamakan figura ini sebagai “Ratu Ganja”. Ia bukan sekadar mengejutkan. Ia menyayat hati," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Aina, peristiwa itu membuktikan bahawa kejahatan tidak mengenal jantina, malah kuasa dan pengaruh tanpa iman serta nilai boleh menjadi alat kebinasaan, sama ada di tangan lelaki atau wanita.
Justeru, beliau menegaskan kepimpinan wanita yang diperjuangkan perlu berprinsip dan bukan sekadar kehadiran simbolik, selari dengan Perlembagaan KEADILAN yang melalui Fasal 5.14 menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan.
Aina turut berkongsi pengalaman peribadinya dalam KEADILAN Kelantan apabila berjaya melantik 30 peratus Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) daripada kalangan wanita di Pasir Mas ketika memimpin cabang tersebut bagi tempoh 2022 hingga 2025.
"Semasa saya memimpin KEADILAN Pasir Mas, saya berjaya melantik 30% Pengerusi JPKKP daripada kalangan wanita — menjadikan Pasir Mas cabang pertama di Kelantan mencapai sasaran tersebut, sekaligus menjadi contoh kepada 13 cabang lain.
"Pendekatan JPKKP menjadi lebih dekat dengan realiti rakyat, khususnya dalam isu kebajikan, keluarga, kemiskinan, pendidikan dan usaha menyelamatkan masyarakat daripada bencana dadah," jelasnya.
Menurut beliau, sentuhan kepimpinan wanita membawa dimensi empati yang lebih mendalam dan berkesan dalam menangani tekanan ekonomi serta emosi yang dihadapi keluarga mangsa dadah.
Bagaimanapun, Aina menegaskan kepimpinan wanita perlu dilindungi oleh perlembagaan, diperkasa dengan ilmu dan dipandu oleh nilai agar tidak tersasar daripada tujuan asal.
"Wanita boleh menjadi cahaya yang menyelamatkan masyarakat jika ia bertanggungjawab. Wanita juga boleh menjadi racun yang memusnah jika ia tamak," katanya lagi.









Comments