top of page

RPM 2026–2035 bukan jalan pengiktirafan UEC, wajibkan subjek BM, Sejarah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menegaskan subjek Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah Malaysia sebagai mata pelajaran teras wajib kepada semua pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), termasuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina dan lulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) disambut baik KEADILAN Cabang Kepong, Wilayah Persekutuan.


Menurut Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang, pendekatan tersebut membuka ruang kepada pengiktirafan UEC secara berstruktur dan bertanggungjawab, selari dengan piawaian pendidikan nasional tanpa mengorbankan kedaulatan Bahasa Kebangsaan.


"Kenyataan Perdana Menteri bahawa majoriti pelajar sekolah persendirian Cina telah menduduki kertas Bahasa Melayu SPM mengesahkan bahawa isu pengiktirafan UEC kini berpaksikan piawaian akademik, bukannya sentimen perkauman atau polemik politik," katanya dalam satu kenyataan.

Jeremy Ang
Jeremy Ang

Menurut beliau, pengiktirafan UEC wajar dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan kemasukan ke IPTA terpilih serta akses kepada program khusus, dengan syarat pematuhan terhadap Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia mengikut kurikulum kebangsaan.


"Pendekatan ini akan menjamin kestabilan dasar serta memelihara keyakinan awam terhadap sistem pendidikan negara," jelasnya.


Jeremy turut menegaskan bahawa langkah tersebut mampu membantu menangani isu penghijrahan bakat (brain drain) dengan menyediakan laluan yang sah dan jelas kepada graduan UEC untuk menyumbang di dalam negara, tanpa mengorbankan asas bahasa, sejarah dan identiti nasional.


Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa Dong Zong sebagai badan swasta di luar bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberikan kerjasama penuh dalam usaha ini.


"Ini mesti merangkumi kesediaan untuk menerima pemantauan kualiti dan penyelarasan silibus agar selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan," katanya.


Tambah beliau, pengiktirafan UEC yang disepadukan dengan RPM 2026–2035 diyakini akan memperkukuh sistem pendidikan negara dan memastikan tiada pelajar berpotensi tercicir daripada arus pembangunan Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page