RPN 2026–2035 ekosistem pendidikan menyeluruh, sejajar keperluan semasa
- Redzuan Shamsudin

- 3 minutes ago
- 1 min read

KEADILAN Negeri Melaka menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang disifatkan sebagai langkah penting dalam membina masa depan negara yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Mahasiswa Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Haikal Hatta (gambar), berkata RPN 2026–2035 mencerminkan komitmen kerajaan untuk melihat pendidikan sebagai satu ekosistem menyeluruh yang bukan sahaja menekankan pencapaian akademik, tetapi turut membentuk insan, memupuk bakat dan merangsang pemikiran kritikal generasi akan datang.
"Pelan ini memberi penekanan kepada akses pendidikan yang saksama, kualiti pengajaran yang tinggi, kebolehpasaran graduan serta pemerkasaan digital, sejajar dengan realiti semasa dan keperluan masa depan bagi memastikan setiap anak muda berpeluang membina kehidupan yang bermakna dan bermaruah," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap anak muda mempunyai peluang membina kehidupan yang bermakna dan bermaruah, selari dengan aspirasi pembangunan negara jangka panjang.
Bagaimanapun, Haikal menegaskan bahawa kejayaan RPN tidak boleh bergantung kepada dokumen dasar semata-mata, sebaliknya memerlukan pelaksanaan yang konsisten, pemantauan yang telus serta komitmen berterusan daripada semua pihak berkepentingan.
"Kejayaan rancangan ini tidak akan tercapai hanya dengan dokumen dasar. Ia menuntut pelaksanaan yang berterusan, pemantauan yang telus, serta kesediaan pihak kerajaan hingga sektor industri untuk memikul tanggungjawab bersama demi
menjayakannya," ujarnya.
Haikal turut menyeru agar suara pelajar, pendidik dan masyarakat diangkat dalam proses pelaksanaan RPN supaya dasar tersebut mencerminkan keperluan sebenar, bukan sekadar ideal di atas kertas.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KEADILAN Melaka bersedia untuk berperanan sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pendidikan negara dan memastikan RPN 2026–2035 diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat nyata kepada anak muda, khususnya di negeri Melaka.









Comments