Hj Hadi jumpa Muhyiddin pujuk terus terajui PN?


Oleh: Akmal Manaf
Pertemuan pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN), Presiden Pas, Hj Hadi Awang dan pemimpin Bersatu baru-baru ini menimbulkan tanda tanya khususnya ketika persoalan siapa yang bakal mengemudi gabungan itu masih belum menemui jawapan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi, berpendapat pertemuan tersebut berkemungkinan bertujuan memujuk Muhyiddin Yassin agar terus kekal menerajui PN.
Hal itu kerana menurutnya, Pas dilihat tidak mempunyai calon yang benar-benar sesuai untuk diketengahkan bagi menerajui gabungan berkenaan.
"Jadi.. saya rasa perbincangan itu berkemungkinan untuk pujuk Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi PN," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai perjumpaan pemimpin Pas dan Bersatu itu yang melibatkan Presidennya, Timbalan, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan kedua-dua Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu).
Ditanya sama ada kemungkinan Pas bimbang calon mereka untuk menerajui PN akan ditolak oleh komponen yang lain, iaitu Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Iman Haziq tidak menolak kemungkinan wujud faktor berkenaan dalam kalangan kepimpinan Pas.
Hal itu, katanya, dibayangkan oleh sayap pemuda komponen PN sebelum ini yang menggesa Muhyiddin meneruskan kepimpinan.
"Pada pandangan saya, mungkin Pas ada kegusaran. Tapi benda ini (pertemuan) jelas yang Pas perlukan Bersatu untuk kekal relevan dan Bersatu juga perlukan Pas untuk kekal relevan.
"Mereka (Pas) ‘nobody’ kalau bergerak sendiri. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain untuk kekal relevan dan kekal berkuasa," ujar beliau yang juga Ketua AMK Ampang.
Untuk rekod, pada 16 Jan lalu pemimpin tertinggi Pas dan Bersatu mengadakan pertemuan melibatkan presiden masing-masing, iaitu Hj Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin.
Turut hadir, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man, dan setiausaha agung kedua-dua parti terbabit Azmin Ali dan Takiyuddin Hassan.
Pertemuan itu berlangsung lebih seminggu selepas Abdul Hadi menulis surat – dan memaparkannya secara terbuka – menggesa PN memanggil mesyuarat majlis tertinggi tergempar bagi membincangkan kedudukan Muhyiddin.




Comments