Kukuhkan semangat reformasi selari hasrat PM - Amirudin
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amiruddin Shari menyeru seluruh anggota parti agar terus memperkasa semangat reformasi yang berteraskan nilai, pengalaman dan integriti bagi memastikan perjuangan KEADILAN kekal konsisten serta relevan.
Menerusi hantaran di Facebook, Amiruddin berkata semangat reformasi itu perlu diperkukuh selari dengan hasrat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina sistem pentadbiran yang lebih adil dan berintegriti.
"Saya hadir bersama pimpinan parti dan Presiden KEADILAN, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan (HKDRRK) 2026.
"Dalam ucapannya, Datuk Seri Presiden menegaskan bahawa perjuangan reformasi mesti dilaksanakan secara waras dan berprinsip, bukan demi jawatan atau kepentingan peribadi, sebaliknya untuk membina sistem yang adil serta memastikan kuasa digunakan secara bertanggungjawab dan bijaksana," katanya.
Amiruddin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, Anwar turut menekankan kepentingan menolak rasuah dan penyelewengan serta menggembleng kekuatan akar umbi termasuk golongan veteran bagi menjamin kesinambungan perjuangan dan hala tuju negara yang lebih kukuh.
HKDRRK 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Bukit Beruntung, Hulu Selangor semalam diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan veteran parti, selain menjadi simbol kesatuan serta kesinambungan perjuangan reformasi.
Turut hadir ialah Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek serta Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Dr Fuziah Salleh.









Comments