Kukuhkan semangat perpaduan, kasih sayang sempena Hari Natal
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menzahirkan ucapan Selamat Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian di negara ini yang disambut pada hari ini.
Beliau berharap sambutan Hari Natal dapat menjadi detik untuk menyemai nilai kedamaian, kasih sayang serta saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
"Selamat Hari Natal kepada penganut Kristian. Semoga kedamaian dan kasih sayang sesama insan mengukuhkan perpaduan demi masa depan yang harmoni," katanya yang juga Ketua Penerangan KEADILAN.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata Krismas mencerminkan nilai sejagat seperti kasih sayang, kedamaian dan harapan yang penting dalam membina masyarakat harmoni selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau berkata sambutan Krismas turut menyerlahkan keindahan kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia yang menjadi asas kepada perpaduan, kestabilan sosial dan kemakmuran negara.
"Marilah kita bersama-sama mendukung dan menghormati penganut semua agama. Inilah masanya untuk menyerlahkan nilai-nilai yang menjadi pegangan penganut Kristian dan juga agama-agama lain, iaitu saling menghormati, bertoleransi antara satu sama lain serta membantu golongan yang kurang bernasib baik.
"Nilai-nilai ini merupakan teras bersama kita semua dalam meraikan kekayaan kepelbagaian dan kesefahaman yang wujud di negara ini.
"Marilah kita terus memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan antara kaum sepanjang masa demi menjayakan visi dan misi yang telah direncanakan oleh Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya yang juga Naib Presiden KEADILAN dalam muat naik di media sosial.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmud yang menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Besar Menggatal dan Pasar Besar Inanam semalam, sambil mengagihkan kalendar 2026 beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menyampaikan sumbangan buah tangan sempena tahun baru dan sambutan Krismas selain beramah mesra dengan masyarakat setempat.
"Sambil bertegur sapa dan berbual santai, para penjaja di Pasar Besar Menggatal dan Inanam turut berkesempatan menitipkan ucapan Selamat Hari Krismas.
"Selamat menyambut Hari Krismas kepada semua yang meraikannya," kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah itu dalam hantaran di media sosial.





