Kukuhkan dasar penggunaan kalimah Allah disambut baik
- Suara Keadilan
- May 18, 2023
- 1 min read
Updated: May 18, 2023

Komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengekal dan memperkemas dasar penguatkuasaan terhadap penggunaan kalimah Allah disambut baik.
KEADILAN Kemaman dalam satu kenyataan berkata keputusan tersebut sangat bertepatan dengan usaha pihak kerajaan memelihara keharmonian antara kaum di Malaysia.
"Keputusan ini juga selaras dengan visi dan misi Malaysia Madani dalam membina masyarakat Malaysia yang bersatu padu, saling menghormati dan bertoleransi antara kaum dan agama
"Justeru itu, rakyat juga harus konsisten menolak sebarang percubaan mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama demi untuk memenuhi hasrat politik sempit sesetengah pihak," kata Pengerusi Biro Komunikasinya, Ahmad Nadhir Yob.

Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam memaklumkan Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata, langkah itu pada masa sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini berdepan kritikan susulan keputusan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kes Jill Ireland membawa masuk bahan terbitan agama selain Islam mengandungi kalimah Allah.
Namun Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam alasan penarikan berkata, kes tersebut tidak menyentuh undang undang berkenaan kalimah Allah tetapi hanya kes berkaitan pentadbiran sahaja.
Commenti