Kukuh perpaduan, erat silatulrahim di Aidilfitri — Fahmi Fadzil
- Suara Keadilan

- Mar 21
- 1 min read

Sambutan Hari Raya Aidilfitri disifatkan sebagai simbol keinsafan dan keutuhan silaturahim yang menjadi asas penting kepada perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (gambar), berkata nilai-nilai yang dibawa oleh Aidilfitri perlu terus diperkasakan dalam menghadapi cabaran dunia moden yang semakin dipacu teknologi.
"Aidilfitri adalah simbol keinsafan dan keutuhan silaturahim yang menjadi asas perpaduan dalam masyarakat kita," katanya dalam perutusan hari raya semalam.
Menurut beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, meskipun dunia kini berkembang pesat dengan kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan, hubungan sesama manusia kekal sebagai elemen terpenting dalam kehidupan.
"Dalam dunia yang semakin dipacu kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan, hubungan antara manusia tetap menjadi elemen paling penting. Teknologi harus dimanfaatkan untuk mengukuh ukhuwah dan menyebar kasih sayang, bukan sebagai pemisah," ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus memupuk sikap toleransi dan solidariti dalam kehidupan bermasyarakat.
"Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam negara majmuk, marilah kita terus menyemai sikap bertolak ansur dan bersolidariti," katanya.
Tambah Fahmi, kekuatan sebenar negara terletak pada perpaduan yang kukuh dalam kepelbagaian kaum dan budaya.
"Inilah teras kekuatan negara kita — perpaduan yang utuh di tengah-tengah kepelbagaian," katanya lagi.




Comments