Kukuh organiasasi, tambah keahlian KEADILAN - Karen Kasturi
- Redzuan Shamsudin
- May 12, 2024
- 2 min read

KEADILAN merupakan satu parti yang muncul pada era penuh pancaroba dan sukar di penghujung 1990an.
Sehubungan itu, pada ulang tahun penubuhan ke 25 tahun ini dan setelah menjadi parti peneraju pemerintahan negara, seharusnya anggota KEADILAN mempunyai semangat yang lebih kental dalam menambah keahlian serta memantapkan parti pada masa hadapan.
Hal itu diucapkan oleh Exco Wanita KEADILAN Pusat, J Karen Kasturi yang mewakili Naib Presiden KEADILAN, Senator Saraswathy Kandasami pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Ranting KEADILAN Tunku Abdul Rahman di Hotel Club Dolphin, Kuala Lumpur baru baru ini.
Menurut Karen Kasturi, perjuangan sepanjang dua dekad tidak akan membuahkan hasil sekiranya pimpinan akar umbi tidak bekerja keras dan setia bersama parti. Pengorbanan, jasa, masa pimpinan akar umbi tempoh terdahulu, katanya, sangat bermakna dalam perjuangan dan perlu diambil iktibar oleh generasi muda serta pelapis parti.

"Saya juga membawa aspirasi dan visi Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat parti muncul sebagai parti gergasi dalam politik negara untuk kita meneruskan perjuangan ini bersama bersama.
"Untuk terus mengukuhkan jentera parti di peringkat negeri, cabang dan ranting, saya telah berkongsi pelan yang telah dilancarkan dalam Konvensyen KEADILAN yang ke -25 tahun baru baru ini iaitu Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) dan KEADILAN Menang Siri PRU16 (KEMAS16).
"Saya turut menyeru agar keanggotaan ditambah untuk mengukuhkan kedudukan parti dan tidak meletakkan tanggungjawab untuk membawa ahli baru ke atas pimpinan sahaja, tetapi bersama-sama kita pikul tanggungjawab tersebut," katanya yang juga Pegawai Tugas- Tugas Khas (PTTK) di Kementerian Perpaduan Negara.
Karen Kasturi mengakhiri ucapan itu dengan memohon anggota KEADILAN untuk terus meraikan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi tunjang kekuatan parti dan menzahirkan harapan semoga kekuatan, ukhuwah dan persaudaraan dalam parti akan terus diperkukuh.
Untuk rekod, majlis tersebut dianjurkan oleh Ketua Ranting KEADILAN Tunku Abdul Rahman, Antony Soosai. Ranting berkenaan mempunyai 58 orang ahli.
Kommentare