Kukuh kerjasama serantau, pembangunan inklusif melalui BIMP-EAGA — PM
- Suara Keadilan

- May 8
- 2 min read

Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama serantau menerusi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) sebagai platform strategik bagi merapatkan jurang pembangunan serta memperluas perdagangan, pelaburan dan keterhubungan di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat termasuk komuniti di kawasan pedalaman.
"Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau menerusi BIMP-EAGA sebagai wahana strategik yang bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan, malah memperluas jaringan perdagangan, pelaburan, keterhubungan digital serta keterjaminan makanan," katanya pada Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu, Filipina semalam.
Menurut beliau, Visi BIMP-EAGA 2035 perlu dipacu dengan semangat kebersamaan serta iltizam untuk memastikan semua kawasan dan penduduknya tidak terasing dari arus pembangunan.
"Visi BIMP-EAGA 2035 mesti dipacu dengan semangat kebersamaan, tatakelola yang mampan serta iltizam untuk memastikan wilayah-wilayah terpencil dan kurang membangun tidak terus tercicir daripada arus pembangunan," ujarnya.
Beliau berkata, dalam menghadapi cabaran global seperti krisis tenaga, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi, rantau berkenaan perlu tampil dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan berani.
Sehubungan itu, Malaysia menyokong pengukuhan sektor tenaga dan tenaga boleh baharu dalam kalangan negara ASEAN.
"Malaysia mendukung pengukuhan keterhubungan tenaga rentas sempadan, pelaburan dalam tenaga boleh baharu serta penyelesaian lestari seperti solar dan mini-grid agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan inklusif oleh seluruh rakyat, termasuk komuniti di kawasan pedalaman," ujarnya.
Tambah beliau, Visi 2035 bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya mencerminkan tekad bersama negara anggota untuk membina rantau yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan berteraskan kemanusiaan.
"Dengan semangat ASEAN yang terus menyala, kita akan terus menyokong agenda pembangunan yang memuliakan insan, memperkasa masyarakat setempat dan menyemarak masa depan yang lebih sejahtera buat generasi mendatang," katanya lagi.




Comments