Kuil Tanpa Kebenaran: Pas Selangor Perlu Hormati Undang undang
- Suara Keadilan

- 11 hours ago
- 3 min read

Oleh: Dr Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah membuat pendirian tegas memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.
PMX menegaskan bahawa dasar dan pendirian itu merupakan pegangan berterusan setiap kerajaan sebelum Kerajaan Madani lagi, namun setiap tindakan perlu dipastikan dengan siasatan yang jelas bahawa telah berlaku pencerobohan dan pembinaan secara haram atau tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Ikut proses undang undang
Pendirian tegas PMX itu seterusnya telah dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Selangor yang dipengerusikan YAB Datuk Menteri Besar Selangor, mesyuarat tersebut bersetuju memutuskan agar sebarang langkah pengosongan atau perobohan hendaklah dilakukan dengan tertib dan teratur berlandaskan hukum serta prosedur yang betul.
Kerajaan Negeri Madani Selangor mahu segala tindakan adalah menurut proses undang-undang sedia ada, polis serta penguatkuasa PBT wajar dilibatkan dari awal agar ketenteraman awam dapat dijamin dan tiada pergaduhan berlaku.
Keputusan ini adalah sejajar dengan peruntukan undang-undang terkait Kanun Tanah Negara 1965 yang menuntut tuan tanah memfailkan tindakan sivil untuk pengusiran dan tuntutan ganti rugi. Justeru tiada kebenaran untuk mana-mana pihak termasuk pemilik tanah untuk mengambil tindakan bersendirian tanpa merujuk kepada mahkamah terkait isu pencerobohan tanah melibatkan pembinaan kuil haram termasuk di Negeri Selangor.
Pengosongan tanah hanya boleh dilakukan setelah mahkamah mengeluarkan perintah (writ) bertulis, sebelum perintah tersebut dikeluarkan maka sebuah perbicaraan yang adil perlu diadakan bagi memastikan tiada pihak teranaiya. Mahkamah perlu memastikan bahawa tidak berlaku sebarang kebenaran oleh tuan tanah sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada penceroboh (estoppel), jika wujud sebarang bentuk kebenaran maka tuan tanah masih berhak mengusir penceroboh dengan membayar ganti rugi (ke atas struktur bangunan yang dirobohkan) berdasarkan penilaian mahkamah.
Tindakan dituntut dalam Perlembagaan
Justeru kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff bahawa keputusan yang dicapai oleh mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Selangor seolah-olah menambah beban yang sedia berat kepada pemilik tanah sebenarnya hanya sebuah kenyataan politik.
Ketua Penerangan Pas Selangor telah mempertikaikan keputusan masyuarat yang menasihatkan agar pemilik tanah melantik peguam dan memulakan tindakan sivil di mahkamah sedangkan tindakan itu tersebut dituntut oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan PAS Selangor menuntut agar Kerajaan Madani Selangor mengarahkan PBT menggunakan kuasa yang ada di bawah undang-undang untuk segera merobohkan binaan kuil haram, sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian.
Persoalan yang perlu dijawab oleh Ketua Penerangan Pas Selangor adalah enakmen atau ordinan negeri mana yang memberi kuasa kepada PBT untuk melakukan perobohan atas mana-mana struktur bangunan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada kebenaran mahkamah? Tuntutan oleh Ketua Penerangan Pas Selangor ini menunjukkan sikap tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam memerintah.
Pihak bertindak bukan tuan tanah
Tindakan pelampau yang didakwa mengambil tindakan sendiri merobohkan kuil haram tanpa merujuk kepada pihak berkuasa seperti kes yang berlaku di Rawang melibatkan tanah milik Yayasan Kubra dianggap sebagai mempertahankan hak oleh Ketua Penerangan Pas Selangor.
Pihak yang didakwa bertindak semberono itu secara jelas tidak mempunyai kaitan dengan Yayasan Kubra (tiada jawatan rasmi), tertuduh tersebut telah bertindak atas alasan mempertahankan hak sedangkan kepimpinan Yayasan Kubra telah memulakan proses rundingan secara aman bagi menyelesaikan isu tersebut.
Pelampau yang bertindak tanpa asas undang-undang seperti itu tidak wajar dipertahankan oleh Ketua Penerangan Pas Selangor. Tindakan pihak yang merobohkan binaan itu ternyata memperkecilkan kedaulatan undang-undang yang termaktub di dalam Rukun Negara.
Seharusnya semua pihak sedar bahawa penyelesaian yang dicadangkan oleh mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Selangor merupakan pendekatan paling praktikal dalam menyelesaikan isu pencerobohan kuil haram ini. Islam mementingkan konsep keadilan ditegakkan dalam setiap perbuatan, justeru biarlah proses undang-undang berjalan bagi menjamin hak setiap pihak dihujahkan secara nyata dan adil dihadapan hakim.
Melalui penyelesaian yang ditegakkan di atas konsep keadilan undang-undang, maka kesyumulan pemerintahan berasaskan konsep keadilan Islam dapat dijelmakan dan dihargai oleh setiap rakyat di Negeri Selangor sepanjang masa.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor









Comments