top of page

Mas Ermieyati umum letak jawatan, Bersatu Masjid Tanah bubar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 1 min read

Gelombang peletakan jawatan dalam BERSATU terus berlarutan apabila Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (gambar) pula hari ini mengumumkan pengunduran beliau sebagai Ketua Bahagian parti itu di Masjid Tanah.


Keputusan itu dibuat bersama 39 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan selepas satu mesyuarat khas yang dihadiri kepimpinan bahagian, ketua-ketua sayap dan cawangan.


Menurut kenyataan yang diumumkan oleh Setiausaha Bahagian Shahrul Azhar Amir, mesyuarat selama kira-kira dua jam itu mencapai keputusan sebulat suara untuk melepaskan jawatan berikutan hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Muhyiddin Yassin.


"Dengan keputusan ini, Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah secara rasmi terbubar," katanya menerusi kenyataan di media sosial.


Mas Ermieyati yang dipetik BH Online mengesahkan peletakan jawatan beliau serta keseluruhan kepimpinan bahagian terbabit.


Perkembangan itu berlaku susulan tindakan parti memecat Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mencetuskan reaksi berantai di beberapa negeri.


Di Perak, sebagaimana dilapor BH Online tiga bahagian iaitu Tanjung Malim, Bukit Gantang dan Bagan Serai turut menyaksikan kepimpinan mereka meletakkan jawatan termasuk timbalan ketua dan ketua bahagian masing-masing bersama ahli jawatankuasa.


Di Sarawak, Bahagian Bintulu menjadi yang pertama di negeri itu mengumumkan pengunduran beramai-ramai.


Ketuanya, Duke Janteng memaklumkan seramai 110 ahli termasuk pimpinan bahagian, ketua cawangan serta sayap wanita dan pemuda bertindak keluar parti.


Beliau mendakwa langkah tersebut diambil kerana hilang keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan semasa, selain mendakwa parti sudah menyimpang daripada matlamat asal perjuangannya, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat pribumi Sarawak.


Situasi terbaharu ini menambah tekanan terhadap kepimpinan pusat BERSATU ketika parti itu berdepan kemelut dalaman yang semakin melebar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page