Kuih Bulan Reformasi lambang perjuangan lawan kezaliman berterusan
- Redzuan Shamsudin
- Aug 27, 2020
- 2 min read

Kuih Bulan Reformasi yang dihasilkan oleh KEADILAN merupakan lambang perjuangan menentang pemerintah zalim dan menjadi tradisi sejak lebih sedekad lalu.
Pada tahun ini, KEADILAN sekali lagi menghasilkan kuih bulan untuk dibeli oleh ahli-ahli dan dihadiahkan sebagai tanda perjuangan melawan kezaliman masih belum berakhir.
Bagi Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, pelancaran kuih bulan KEADILAN pada tahun ini lebih bermakna kerana disokong oleh dua sayap, iaitu Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
"Idea Kuih Bulan Reformasi ini sebenarnya tercetus sewaktu gerakan reformasi sedang rancak pada penghujung 1990an. Ketika itu, sempena pesta buih bulan, pada bulan September - Oktober.
"Masa itu masyarakat Tioghua, untuk beri sokongan kepada gerakan reformasi, mereka menyediakan kuih bulan dan tanglong bagi menyebarkan mesej reformasi kepada orang ramai," ujar Chean Chung dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, pagi tadi.

Menurut beliau lagi, sejarah kuih bulan bermula pada era dinasti Yuan yang memerintah China secara zalim. Katanya, ikhtiar rakyat menggulingkan kerajaan ketika itu adalah dengan meletakkan kertas mengandungi mesej dalam kuih bulan dan rakyat bangkit pada waktu yang ditetapkan.
"Ia dijadikan simbol yang penting pada penghujung dinasti Yuan di China.
"Rajanya zalim dan rakyat susah. Rakyat selitkan kertas dalam kuih. Mesej disampaikan kepada orang ramai supaya bangkit pada satu malam bagi menggulingkan kerajaan zalim.
"Maka sejarah ini mengingatkan kita bahawa mesej perubahan dan agenda reformasi harus diketengahkan.
"Pada sama sama kuih bulan juga melambangkan penyatuan dan perpaduan kerana kita biasanya meraikan pesta ini bersama," katanya lagi.
Harga bagi kuih bulan yang dijual pada tahun ini tidak berubah, iaitu RM22 bagi saiz besar dan RM12 saiz kecil. Terdapat dua perisa iaitu lotus dan red bean. Manakala untuk tempahan boleh menghubungi nombor: 012-3096671.
Dalam pada itu, Ketua Wanita KEADILAN Fuziah Salleh pula menekankan perayaan kuih bulan sebagai sinonim kepada perjuangan menegakkan keadilan.
"Kuih bulan amat bermakna bagi parti KEADILAN. Sejarahnya, reformasi melawan kerajaan yang zalim pada waktu kerajaan Monggol di China dan sinonim dengan perjuangan kita dalam Parti Keadilan Rakyat," katanya.
Manakala Ketua AMK, Akmal Nasir mengajak rakyat menolak kerajaan yang mempunyai dua set undang-undang berbeza pada hari ini. Satu untuk rakyat dan satu lagi untuk pemerintah.
"Namun perayaan kuih bulan memberi dua nilai besar kepada kita.
"Pertama membuktikan KEADILAN merupakan parti mengangkat pelbagai kaum. Tiada perbezaan dalam menghormati dan meraikan sahabat-sahabat berkaitan perayaan yang budayanya ada unsur kebaikan.
"Kedua, mesej yang dibawa iaitu menentang kerajaan yang zalim. Refleksi dunia moden sekarang, kerajaan yang ada sekarang ini dua darjat. Iaitu membezakan antara rakyat dan juga penguasa.
"Kalau rakyat dihukum teruk, yang berkuasa dilepas begitu sahaja. Jadi mesej yang kita bawa supaya reformasi itu relevan sehingga hari ini. Kita boleh menolak pendirian yang membezakan antara rakyat dan pemerintah," katanya.
Comments