Terdapat beberapa kuaters guru terbiar di seluruh Kedah terutama di Sungai Petani yang menjadi sarang kegiatan menyalahi undang undang dan masalah sosial.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata beliau telah beberapa kali mengutarakan masalah itu dalam sidang Parlimen dan DUN, namun Kerajaan Persekutuan tidak bertindak menangani aduannya.
"Di Sungai Petani sahaja, terdapat tiga kuarters guru dibiarkan terbengkalai, kosong serta tidak terurus tanpa sebarang tindakan yang sewajarnya.
"Sebelum ini, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Menteri dalam jawapan balas kepada saya mengatakan bahawa pihak mereka bersedia untuk mengambil alih kuarters-kuarters guru terbiar namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan yang dilakukan.
"Keadaan dan situasi sebegini cukup membimbangkan saya apabila kuarters-kuarters tersebut disalahguna untuk dijadikan sebagai sarang penagihan dadah serta tempat untuk melepaskan kancah perbuatan yang tidak bermoral," katanya.
Tambah ADUN Gurun itu lagi, kerajaan telah menghabiskan jutaan ringgit membangunkan kuaters berkenaan namun apakah kesudahannya ditinggalkan usang begitu sahaja.
"Kerajaan menghabiskan jutaan ringgit bagi pembinaan kuarters-kuarters ini tetapi sayangnya terbiar tanpa terurus.
"Pada hemat saya, kuarters-kuarters terbabit boleh dijual pada harga yang rendah serta mampu milik untuk rakyat yang ingin mendapatkan kediaman daripada dibiarkan dalam keadaan menyakitkan mata dan usang.
"Saya akan membawa serta berbincang mengenai permasalahan yang timbul bersama dengan pihak-pihak berkaitan untuk memastikan agar jalan penyelesaian dapat dicari dan dicapai," katanya lagi.
コメント