Kuasa lulus pengecualian cukai di bawah Ketua Pengarah LHDN
- Suara Keadilan
- Apr 3, 2023
- 1 min read

Kontroversi sama ada Menteri Kewangan atau Kementerian Kewangan mempunyai kuasa meluluskan permohonan pengecualian cukai bagi sesebuah organisasi dijawab secara tuntas oleh Timbalan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Steven Sim Chee Keong (PH - Bukit Mertajam) kuasa memutuskan pengecualian cukai sepenuhnya di bawah Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (KPLHDN) dan bukannya pihak lain.
"Isu kononnya ada kekeliruan berbangkit kuasa meluluskan instiusi di bawah Perkara 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, ini sebenarnya amat jelas tiada sebarang kekeliruan berbangkit dalam aspek ini, sebab kuasa memang sepenuhnya terletak di bawah Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.
"Institusi atau organisasi berminat boleh memohon terus kepada LHDN dan dipertimbangkan mengikut ketetapan seperti mana digariskan mengikut garis panduan berkuatkuasa.
"Kelulusan ini secara bertempoh mengikut kebiasaan selama lima tahun dan akan disemak oleh KPLHDN sebelum kelulusan baru diberikan," katanya dalam sesi tanya jawab kementerian di Dewan Rakyat pagi tadi.
Menurut beliau, Menteri Kewangan atau kementerian tidak mempunyai kuasa untuk campurtangan di dalam hal pengecualian cukai berkenaan.
"Bagi proses kelulusan di bawah subseksyen 44 (6) ini Menteri Kewangan atau kementerian tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melulus sebarang permohonan kelulusan di bawah subskesyen 44(6) bagi pihak KPLHDN. Pada masa sama Menteri atau kementerian tidak boleh membatalkan kelulusan yang telah diluluskan oleh KPLHDN Malaysia," katanya lagi.
Kontroversi sebelum ini timbul apabila bekas Perdana Menteri Mahiaddin Yassin mengaitkan mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempunyai kuasa untuk membatalkan pengecualian cukai bagi Yayasan Albukhary sehingga pentadbirannya campurtangan selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan.
Lim Guan Eng telah mengemukakan saman fitnah terhadap Mahiaddin Yassin berhubung tuduhan mengaitkannya dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary tersebut.
Commenti