top of page

'Kuasa Ketiga' politik tawar agenda tidak realistik, kacau kestabilan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Malaysia tidak memerlukan lebih ramai ‘pelancong dalam dunia politik’ yang bereksperimen dengan masa depan negara, sebaliknya memerlukan kestabilan, kepimpinan yang serius dan gabungan politik yang benar-benar mampu mentadbir selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, kemunculan pelbagai gerakan dan parti baharu yang mendakwa mewakili ‘kuasa ketiga’ di luar gabungan politik utama ketika ini, perlu dinilai secara rasional oleh pengundi.


Beliau berkata, kebanyakan gerakan tersebut gagal menawarkan pelan pentadbiran yang jelas dan realistik, sebaliknya lebih banyak bergantung kepada populariti media sosial dan retorik politik untuk menarik perhatian rakyat.


"Individu dan gerakan ini mendakwa mahu memecahkan susunan politik lama. Kedengarannya menarik di atas kertas, namun realitinya, kebanyakan mereka bukan membina alternatif pemerintahan yang serius, tetapi mereka sekadar meletakkan diri sebagai pengacau percaturan politik.


"Hakikat yang sukar diterima ialah ramai calon bebas yang bercita-cita tinggi ini sebenarnya tahu peluang mereka untuk menang amat tipis.


"Matlamat sebenar mereka adalah untuk mendapatkan perhatian, meningkatkan pengaruh dan memastikan mereka terus relevan.


"Ada yang berharap dapat berunding mengenai kedudukan politik pada masa hadapan dan ada pula yang hanya sekadar mahu memecahkan undi dan melemahkan gabungan politik sedia ada di kawasan tertentu," katanya dalam satu kenyataan.


Justeru, Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia mengingatkan pengundi agar berhati-hati apabila mendengar ucapan besar mengenai ‘politik baharu’ dan ‘alternatif bersih’.


Lokman berkata, ‘slogan yang indah’ tidak akan menyelesaikan masalah rakyat seperti membaiki jalan raya, mengukuhkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan atau menjamin kestabilan kerajaan.


Sebaliknya beliau berkata, tadbir urus yang berkesan memerlukan struktur politik yang tersusun dan bukannya himpunan individu yang kecewa dan bergerak secara rawak.


"Beberapa parti politik yang baru ditubuhkan kini mempromosikan apa yang mereka panggil sebagai ‘strategi solo bebas’.


"Dalam bahasa mudah, ini bermaksud mereka menolak disiplin gabungan politik, tetapi pada masa yang sama mengharapkan pengundi percaya bahawa mereka mampu mentadbir negara secara bersendirian.


"Ia adalah fantasi politik yang dibungkus sebagai keberanian. Lebih membimbangkan, perpecahan seperti ini berisiko mengulangi ketidakstabilan politik yang sudah memenatkan rakyat Malaysia," katanya lagi.


Untuk rekod, dalam Pilihan Raya Negeri Johor yang akan diadakan pada 11 Julai ini berkemungkinan satu parti serpihan akan meletakkan calon di separuh daripada 56 kawasan DUN yang dipertandingkan, biarpun tidak mempunyai jentera dan jumlah penyokong yang diragukan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page