Kuarantin menteri 3 hari: Hentikan amalan 2 set undang-undang - AMK



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan amalan memberi 'kelebihan' kepada menteri dan golongan atasan dalam penguatkuasaan peraturan.


Menurut Ketua AMK, Akmal Nasir, kontroversi terbaharu apabila menteri dibenarkan menjalani kuarantin 3 hari membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang terpaksa 'dikurung' selama dua minggu selepas pulang dari luar negara.


"AMK menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Menteri Kesihatan berhubung Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 bagi membenarkan Jemaah Menteri menjalani kuarantin hanya selama 3 hari selepas kembali dari sebarang lawatan rasmi luar negara berkuatkuasa pada 9 Februari.


"Ini berbeza dengan kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan bahawa tempoh masa kuarantin pengembara yang pulang dari luar negara adalah 10 hari bersandarkan rujukan saintifik klinikal.


"Kenyataan Menteri Kesihatan yang menafikan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan bukanlah perkara baru. Sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan menyatakan individu yang tiba dari Sabah perlu memakai gelang kuarantin dan menjalani kuarantin wajib 14 hari.


"Namun 4 hari kemudian, Menteri Kesihatan mengeluarkan arahan bercanggah. Ini amat membimbangkan apabila arahan Menteri Kesihatan dilihat seolah-olah secara tidak langsung telah menyumbang kepada peningkatan ketara kes Covid-19 di seluruh negara selepas PRN hingga pernah melebihi 5,000 kes baharu dalam sehari," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Akmal lagi, keistimewaan yang diberikan kepada menteri itu semakin menguatkan sangkaan rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional mengamalkan 2 set undang-undang berbeza.


Hal itu, katanya tidak baik untuk masa hadapan sistem pemerintahan Malaysia kerana kehilangan keyakinan umum terhadap ketelusan penguatkuasaan.


"Keputusan terkini Menteri Kesihatan sudah pasti akan menguatkan lagi dakwaan rakyat bahawa Kerajaan PN mengamalkan 2 set peraturan berbeza kepada rakyat dan menteri.


"Ditambah pula dengan banyak berita yang tular kebelakangan ini apabila rakyat pantas dikenakan hukuman manakala sesetengah menteri seperti bebas melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.


"Perintah baru yang dikuatkuasakan ini akan turut menimbulkan persoalan sama ada ianya turut terpakai kepada kepada Perdana Menteri yang baru pulang dari lawatan rasmi ke Indonesia pada 5 Februari lalu," katanya.


Oleh itu, kata Akmal, AMK mengesa kerajaan PN bersikap lebih konsisten terhadap peraturan yang telah dikuatkuasa serta menjauhkan amalan dua darjat dalam sebarang peraturan atau tindakan yang dikenakan.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio