Kualiti kepimpinan berdasarkan amanah, prestasi, bukan kaum — Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan
- 37 minutes ago
- 2 min read

Pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kalangan masyarakat Cina yang mencetuskan pelbagai reaksi di ruang awam wajar dinilai secara matang dan berlandaskan prinsip kenegaraan, bukannya sentimen perkauman sempit, tegas Naib Ketua Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean (gambar).
Menurut beliau, dalam sistem demokrasi berperlembagaan, kepimpinan tidak seharusnya diukur berdasarkan asal usul kaum atau latar belakang etnik, sebaliknya dinilai melalui amanah yang dipikul, sumpah jawatan yang dilafazkan serta kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
"Inilah pasak kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kestabilan negara," katanya dalam satu kenyataan media.
Ker Chean menegaskan bahawa Malaysia tidak dibina atas dominasi satu kaum ke atas kaum lain, sebaliknya berteraskan prinsip kerukunan dalam kepelbagaian, keadilan serta tanggungjawab bersama yang telah menjamin keamanan dan kemenjadian negara sejak merdeka.
"Sebagai Naib Ketua Wanita KEADILAN, saya melihat keperluan rakyat daripada pelbagai latar belakang adalah sama. Mereka mendambakan perlindungan sistem yang adil, pentadbiran yang berhemah, serta kepimpinan yang berintegriti dan beradab. Inilah kayu ukur sebenar bagi sebuah kepimpinan dalam negara berdaulat," ujarnya.
Beliau menyambut baik aspirasi Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN dalam menterjemahkan nilai kepelbagaian menerusi rombakan Kabinet yang baharu diumumkan, khususnya melibatkan Wilayah Persekutuan sebagai pusat pentadbiran dan ekonomi.
"Wilayah Persekutuan, sebagai pusat pentadbiran dan wajah Malaysia, harus dipimpin dengan semangat kenegaraan yang tinggi. Kepimpinannya perlu meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan, serta memastikan setiap dasar berpaksikan kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang," katanya.
Dalam masa sama, Ker Chean mengingatkan bahawa perbahasan awam yang matang tidak seharusnya tersasar kepada pertikaian identiti yang boleh menghakis keharmonian nasional.
"Tumpuan kita mestilah terarah kepada persoalan akauntabiliti, sejauh mana kepimpinan yang dilantik mampu melunaskan amanah, bekerja merentas perbezaan, dan meletakkan kepentingan negara mengatasi sentimen perkauman," tegas beliau.
Justeru, Ker Chean menyeru semua pihak membuktikan kematangan politik dengan menilai kepimpinan berdasarkan prestasi dan prinsip kenegaraan, demi memastikan Malaysia terus stabil, adil dan bermaruah pada masa hadapan.





