Kru penerbangan tutup aurat, kejayaan dakwah era MADANI
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengumuman syarikat penerbangan Air Asia berhubung pembaharuan polisi pakaian seragam kru kabin yang membolehkan kru wanita memilih memakai hijab ketika bertugas disambut baik oleh Senator Dr Zulkifli Hasan.
Susulan perkembangan positif di bawah pimpinan Kerajaan MADANI itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkenaan merakamkan ucapan tahniah atas perubahan besar yang berlaku dalam industri penerbangan negara.
Katanya, perubahan peraturan berpakaian bagi kru penerbangan itu merupakan dakwah secara beransur ansur yang akhirnya mencapai kejayaan.
"Dakwah menitikberatkan persoalan masa, waqi’, realiti dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai tujuan dakwahnya.
"Alhamdulillah, AirAsia benarkan pramugari berhijab dengan uniform baru mulai 2026.
"Tahniah Kerajaan MADANI, tahniah Air Asia," katanya dalam satu muat naik di media sosial.
Dalam hantaran sama, Dr Zulkifli turut mengimbas kembali pramugari Amal, anak syarikat Malaysia Airlines Berhad khusus untuk penerbangan sewaan umrah dan haji, yang juga memakai hijab.
Katanya, pada Januari 2024, Malaysia Aviation Group (MAG) memperkenalkan set uniform terbaharu mereka, yang turut merangkumi pemakaian tudung.
"Kru Amal juga ada yang terlibat dengan operasi pesawat komersil ke destinasi lain, jika pesawat MAS kekurangan kru.
"Syabas atas perubahan besar dalam industri penerbangan di Malaysia.
"Semoga dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna, selaras dengan pemakaian yang berketerampilan, insya-Allah," ujarnya lagi.









Comments