top of page

KRT Johor Bahru diseru lebih aktif kukuhkan perpaduan komuniti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read
Yuneswaran (belakang) bersama ahli KRT Johor Bahru
Yuneswaran (belakang) bersama ahli KRT Johor Bahru

Semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Johor Bahru diseru agar terus diperkasa dan digerakkan secara lebih aktif dalam usaha memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan masyarakat setempat.


Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, mereka yang diberi amanah dalam kepimpinan komuniti perlu memainkan peranan secara berkesan demi manfaat masyarakat.


"Hadir menyantuni komuniti sempena Program Santuni Komuniti Rukun Tetangga Daerah Johor Bahru bersama kepimpinan dan ahli-ahli KRT sekitar Johor Bahru," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut beliau, sehingga 16 Mei 2026, Johor merekodkan sebanyak 877 Kawasan Rukun Tetangga dan 660 Skim Rondaan Sukarela, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang terus kukuh di peringkat akar umbi.


Dalam sesi interaksi bersama komuniti, pelbagai isu tempatan dibincangkan termasuk cabaran menarik penglibatan generasi muda dalam kepimpinan KRT, jurang usia dalam komuniti serta kekangan komitmen kerjaya masyarakat bandar.


"Pelbagai isu di peringkat lokaliti turut dibincangkan termasuk cabaran menarik penglibatan generasi muda dalam kepimpinan KRT, jurang usia dalam komuniti serta komitmen kerjaya masyarakat bandar yang memberi cabaran kepada pengukuhan jawatankuasa," jelasnya.


Ahli Parlimen Segamat itu turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh golongan wanita dalam menjayakan pelbagai aktiviti komuniti.


"Saya amat menghargai komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan khususnya oleh golongan wanita dalam menjayakan pelbagai aktiviti komuniti dan perpaduan," katanya.


Dalam pada itu, Yuneswaran menegaskan bahawa KRT di Johor Bahru perlu menjadi contoh kepada kawasan lain sebagai komuniti yang aktif, progresif dan proaktif sejajar dengan status bandaraya pesat membangun.


"Jaringan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi juga perlu terus diperkasakan demi kesejahteraan masyarakat setempat," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa semua KRT di Johor Bahru agar meningkatkan aktiviti sepanjang bulan ini bagi memperkukuh hubungan antara kaum serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page