KRT Alor Akar Selatan anjur gotong royong, Jualan Rahmah erat hubungan komuniti
- Suara Keadilan

- Jan 8
- 2 min read

Perpaduan dan kerjasama dalam kalangan komuniti terus menjadi tonggak utama keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini, selaras dengan usaha Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional di bawah Kementerian Perpaduan Negara dalam mengaktifkan penglibatan rakyat menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Sehubungan itu, KRT Alor Akar Selatan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Proaktif Teruntum telah berjaya menganjurkan program gotong-royong dan Jualan Rahmah MADANI Bergerak di kawasan Rumah Pangsa Alor Akar, Kuantan baru baru ini, dengan sokongan Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Program tersebut dimulakan dengan aktiviti mengemas balai raya serta membersihkan kawasan sekitar rumah pangsa bagi memastikan tahap kebersihan yang baik, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih ceria dan selesa untuk penduduk setempat.
Menurut Fakhrul Anuar, program berkenaan wajar diperbanyakkan atau dijadikan acara berkala dalam komuniti.
"Program seumpama ini harus disokong dan disertai oleh semua kelompok di dalam komuniti," katanya.

Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuantan berkata, hasil kerjasama erat antara komuniti kejiranan dan pihak Ahli Majlis, banyak aduan penduduk telah berjaya diselesaikan.
"Banyak aduan berjaya diselesaikan termasukkan isu longkang yang pecah, paip bocor dan kemudahan-kemudahan di perumahan, di kejiranan ini dapat baikpulih dan diselenggara," katanya.
Tambah beliau, hubungan kerjasama yang terjalin turut membolehkan sumbangan disalurkan kepada komuniti termasuk penyediaan kerusi batu dan kerusi plastik untuk kegunaan balai raya. Terbaharu, komuniti turut menerima sumbangan dapur memasak dan chiller hasil inisiatif bersama Ketua Cabang KEADILAN Kuantan.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Proaktif Teruntum, Muhammad Faris Zulkarnain melahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap semangat perpaduan serta kerjasama yang diwujudkan antara pelbagai pihak dalam menjayakan program komuniti di kawasan tersebut.
Beliau turut menyatakan kegembiraan melihat penglibatan aktif anak-anak muda dalam menjayakan program-program komuniti, yang disifatkan sebagai petanda positif terhadap kelangsungan usaha perpaduan dan kebajikan di peringkat akar umbi.



Comments