Oleh: Azuan Ab Rahman
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (KRPPM-MPL) telah mengadakan latihan sukarelawan komuniti peringkat negeri Pahang.
Bertemakan 'Membina Inklusif Komuniti', program itu yang julung kalinya diadakan pada 20 Disember lalu di Kuantan, Pahang dijayakan melalui kerjasama Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan Kuantan Prihatin (KP).
Timbalan Pengerusi Wanita KEADILAN Pahang, Sridayu Samsuri berkata pemilihan peserta PKI ini berdasarkan kepada penglibatan mereka di dalam pembangunan komuniti menerusi 12 kebun komuniti yang mereka laksanakan sejak bulan Ogos 2023 di bawah KRPPM-MPL.
"Program itu disertai 40 orang pemimpin akar umbi yang terlibat dengan projek di bawah KRPPM-MPL dari 4 buah Parlimen iaitu Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar dan Pekan.
"Ia mampu mencorakkan pemikiran komuniti dan tindakan pemimpin-pemimpin komuniti agar keterangkuman sosial menjadi teras penglibatan komuniti pada masa akan datang," katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, penganjuran program itu selaras dengan pembinaan Dasar Negara Madani oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keterangkuman dan kesaksamaan di dalam membina negara Malaysia yang adil.
"Pembangunan Komuniti Inklusif (PKI) ini bertujuan untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan (leaving no one behind) di dalam program-program komuniti di peringkat akar umbi.
"Ianya juga selaras dengan inisiatif mencapai matlamat pembangunan lestari (Sustainable Development Goals/SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak 2015 untuk memastikan kehidupan dunia yang lestari dan makmur," ujarnya.
Kenyataan itu turut memaklumkan program yang diadakan turut dihadiri oleh Ketua Sekretariat KRPPM-MPL Professor Dr. Denison Jayasooria.
"Di dalam ucapan aluan kepada para peserta, beliau berharap agar program ini mampu memberikan impak kepada semua pemimpin komuniti untuk melaksanakan agenda pembangunan masyarakat dan negara secara inklusif dan meliputi semua kumpulan termasuk mereka yang sering disisihkan di dalam penglibatan kegiatan komuniti," tambah kenyataan tersebut.
Kommentare