top of page

Kritikan Puad dangkal, tidak teliti perkembangan dasar pendidikan - AMK Johor

Updated: May 2




Kritikan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Puad Zarkashi kononnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek 'malas' sehingga Bank Dunia dalam laporannya memberikan perbandingan negatif kualiti pendidikan rendah di Malaysia berbanding Vietnam amat dangkal dan tidak menepati fakta semasa.


Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Mohamad Taufiq Ismail, pemimpin UMNO Johor itu seharusnya meneliti lebih mendalam perubahan yang telah dibawa Fadhlina dalam Kementerian Pendidikan, terutama kejayaan memperkenalkan Pendidikan Wajib 11 Tahun dan Perluasan Pra Sekolah sebelum melemparkan kritikan.


Katanya, Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills perlu dibaca secara menyeluruh berkenaan mutu pendidikan negara yang bermasalah sejak sedekad lalu, bukannya menghentam melulu Menteri Pendidikan Kerajaan Perpaduan.


"Sudah tentu apabila kita berbicara soal keberkesanan dasar pendidikan negara, ia perlu dibincangkan secara mendalam dan ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak.


"Secara dasarnya, isu pokoknya adalah kualiti dan akses pendidikan prasekolah, namun ia berjalan seiring dengan beberapa inisiatif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha ke arah pengstrukturan semula sistem prasekolah, Kurikulum Persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.


"Bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan pula KPM telah memperkenalkan Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi keperluan kompetensi digital guru dan ia bakal memberi kesan yang lebih efektif dalam jangka masa lebih panjang.


"Malah, Menteri Pendidikan baru sahaja selesai lawatan kerja di Sabah, Gua Musang dan Pulau Ketam bagi memantau proses pembangunan semula sekolah daif dan melihat dengan kaca mata sendiri terhadap beberapa isu utama seperti keciciran murid Orang Asli dan kepadatan murid di beberapa lokasi," katanya dalam kenyataan.


Tegas Taufiq, lebih baik kritikan atau hentaman yang dilakukan oleh Puad itu disalurkan menerusi saluran dalaman kerajaan dan tidak dibuat secara terbuka yang merosakkan reputasi kerajaan memerintah.


"Alangkah baiknya jika mana-mana pihak yang mungkin tidak bersetuju atau berbeza pandangan soal dasar terkait sistem pendidikan negara, menggunakan saluran yang lebih efektif dan tidak terlalu gelojoh dalam menunding jari terhadap mana-mana pihak," ujarnya.


Menurut Taufiq, tidak mungkin masalah sistem pendidikan negara boleh dibaiki dalam tempoh kurang 2 tahun Fadhlina menjawat menteri.


Apatah lagi, katanya, masalah dialami pada ketika ini merupakan isu inherited.


"Masalah hari ini telah diwarisi dan legasinya harus dipikul pada pemimpin yang bertanggungjawab ketika ini.


"Jika kita mengambil pendekatan untuk menunding jari kepada mana-mana pihak, maka masalah yang sedang dialami tidak dapat diselesaikan kerana fokusnya hanya tertumpu kepada perkara-perkara yang tidak sewajarnya.


"Masalah serta kelompongan dasar oleh Menteri Pendidikan sebelum ini telah mendapat perhatian Fadhlina dan realitinya, sudah pun ada kerangka dasar yang jelas dan ia sedang dilaksanakan secara berfasa," katanya.


Secara hakikat, kata Taufiq lagi, sebelum laporan Bank Dunia itu diterbitkan beberapa dasar penting terkait masalah yang dimaksudkan telah pun berjalan seiring dengan beberapa dasar yang lebih konkrit seperti Pendidikan Wajib 11 tahun, perluasan prasekolah di berapa lokasi penting berdasarkan data keciciran murid serta penstrukturan semula kurikulum 2027.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page