Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari terbuka terhadap mana mana keritika ke atas dirinya, Kerajaan Negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Namun kalau kritikan itu memfitnah, katanya, pengkritik perlu bersedia menghadapi tindakan undang undang.
Beliau mengulas pertanyaan daripada Setiausaha Penaja Parti Hijau, Abdul Razak Ismail yang disaman bersama beberapa media kerana menimbulkan dakwaan perolehan tanah sebagai tukar ganti kepada kos projek membina semula Stadium Shah Alam.
"Kritikan ok tetapi tidak boleh fitnah. Bila fitnah berlaku saman diberikan. GLC ada maruah dan ada kredibilitinya, apatah lagi MBI adalah anak syarikat yang begitu akur yang mempunyai garis panduan dengan SPRM dalam banyak perkara.
"Kritikan boleh tetapi kalau bertindak yang berhasrat kepada fitnah itu kita kena pertahankan hak kita.
"Bila dikaitkan tentang stadium, ia adalah satu proses yang bermula sejak 2008. Bukan satu syarikat, berpuluh syarikat dan kita buka tawaran selama berbulan bulan dan akhirnya proses ditetapkan oleh jawatankuasa dan bukan oleh Menteri Besar atau CEO yang bulldoze semua keputusan.
"Jadi ada beberapa butiran yang kita anggap memfitnah, kita ambil tindakan. Kalau kita tak ambil tindakan orang ingat kita berada dalam pihak yang salah," katanya dalam sesi soal jawab Town Hall Rakyat anjuran Sinar, semalam.
Namun, kata Amirudin, beliau tidak menggunakan penguatkuasa untuk menekan pengkritiknya tetapi mahkamah yang boleh menentukan pihak mana yang benar atau salah.
"Saya bukan gunakan pihak penguatkuasa untuk menutup mulut. Ia menggunakan peguam dan saman dan saudara boleh ada peguam atau hak dalam Perlembagaan.
"Itu satu contoh bagaimana dalam kritikan kita perlu lebih berhati hati tetapi kalau sampai ke tahap fitnah saya rasa masing masing ada hak untuk pertahankan diri dari fitnah," katanya lagi.
Comments