Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jayakumar mengucapkan selamat hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian dan warga parti KEADILAN.
Beliau berharap perayaan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kegembiraan kepada rakyat biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tahun ini.
Malah, beliau berharap tahun depan keadaan akan menjadi lebih baik dan KEADILAN akan terus berjuang bagi mendapatkan semula mandat rakyat.
"Tahun ini merupakan tahun yang agak luar biasa atas sebab yang sangat mencabar. Kita kini mengharungi wabak covid-19 ini dan juga ketidakstabilan politik. Saya berharap musim perayaan ini akan membawa sedikit keceriaaan, kesenangan dan mungkin juga kelegaan kerana kita sudah sampai di akhir tahun.
"Sama-sama kita menantikan tahun 2021, di mana ianya tahun untuk pemulihan ekonomi dan menegakkan keadilan. Malaysia boleh dan akan bangkit semula dan kita akan terus berjuang untuk mengembalikan mandat rakyat," katanya.
Pada masa sama, Xavier menghargai jasa petugas barisan hadapan yang tetap berkhidmat pada hari perayaan demi melawan wabak Covid-19.
"Terima kasih kepada semua para barisan hadapan yang telah menjalankan tugas dengan jayanya untuk memastikan perkhidmatan penting terus berfungsi dan terima kasih kepada para rakyat yang mengikuti SOP PKP.
"Kita mampu mengawal penularan virus ini jika kita semua terus bekerjasama. Pengumuman vaksin Covid-19 merupakan berita yang baik, akan tetapi kita harus tetap berwaspada. Saya dan keluarga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2021," katanya.
Comments