top of page

Krisis tenaga: Swasta dianjurkan guna pakai Aturan Kerja Fleksibel

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 10 hours ago
  • 1 min read

Pekerja sektor swasta kini boleh memohon Aturan Kerja Fleksibel (AKF) meliputi waktu kerja, hari bekerja dan bekerja dari rumah (BDR) seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955 (Akta 265).


Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi satu kenyataan berkata, permohonan itu boleh dikemukakan terus kepada majikan, selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan pelaksanaan kerja lebih anjal bagi menghadapi cabaran krisis tenaga global dan ketidaktentuan ekonomi dunia semasa.


"AKF merupakan pendekatan strategik membantu organisasi menyesuaikan operasi dengan lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti, di samping memberi manfaat kepada pekerja dan majikan.


"Peruntukan baharu ini membolehkan pekerja membuat permohonan kepada majikan untuk bekerja secara fleksibel sama ada dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja (BDR).


"Bagi menjamin kebajikan pekerja, majikan yang melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah telah diperuntukkan bawah akta ini seperti bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat, bayaran kerja pada cuti am, dan pemberian cuti rehat, cuti tahunan, hari kelepasan am serta cuti sakit," kata kementerian itu.


Kementerian itu turut menegaskan, pelaksanaan AKF memberi manfaat menyeluruh kepada majikan serta pekerja termasuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta menyokong kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik.


"KESUMA komited memastikan kesejahteraan pekerja dan kelangsungan perniagaan terus seiring dalam mendepani cabaran global


"Sehubungan itu, majikan sektor swasta digalakkan menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi, termasuk melalui pendekatan BDR, waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid," tambah kenyataan tersebut.


Garis Panduan Pelaksanaan AKF 2024 boleh dimuat turun melalui laman rasmi KESUMA, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh melalui TalentCorp di flexworklife@talentcorp.com.my atau www.flexworklife.my

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page