top of page

Krisis tenaga global: Pastikan negara cukup bekalan ubat, peranti kesihatan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 8 hours ago
  • 2 min read

AKMAL NASRULLAH ketika bercakap dalam taklimat krisis tenaga global di Putrajaya pada 7 April 2026. Foto Ihsan Bernama melalui Facebook
AKMAL NASRULLAH ketika bercakap dalam taklimat krisis tenaga global di Putrajaya pada 7 April 2026. Foto Ihsan Bernama melalui Facebook

Krisis tenaga global yang kini memberikan kesan langsung kepada Malaysia mendorong kerajaan memberikan tumpuan kepada isu keterjaminan makanan, bekalan ubat-ubatan, logistik serta kos sara hidup keseluruhannya, demikian kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.


Beliau berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah membincangkan secara terperinci langkah bagi memastikan bekalan ubat dan peranti perubatan negara kekal mencukupi dalam keadaan global yang tidak menentu.


“Krisis tenaga global bukan hanya menjejaskan minyak dan logistik tetapi juga bekalan ubat dan peranti perubatan.


"Gangguan rantaian bekalan global boleh menyebabkan kekurangan bahan mentah penting seperti API (Bahan Aktif Farmaseutikal), petroleum dan gas ethylene oxide (EO) sekali gus meningkatkan kos pengilangan dan penghantaran,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global di Putrajaya hari ini.


Menurut Akmal Nasrullah, bagi langkah jangka pendek, kerajaan akan memantau stok ubat secara berpusat selain mempelbagaikan sumber import dan mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan.


“Kerajaan juga akan menetapkan item tertentu sebagai barangan kawalan serta melaksanakan laluan khas bagi memastikan akses kepada keperluan kritikal tidak terjejas,” katanya.


Dalam masa sama katanya kerajaan turut merangka strategi jangka sederhana dan panjang bagi memperkukuh daya tahan sektor kesihatan negara.


“Antara langkah yang diteliti termasuk mewujudkan stok penimbal strategik nasional, beralih daripada penggunaan bahan mentah resin kepada polimer bagi produk tertentu serta membangunkan dasar keterjaminan ubat negara melalui MyMedSecure,” katanya.


Beliau berkata kerajaan turut komited untuk memperkasa industri ubat dan peranti perubatan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.


Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata MTEN turut membincangkan usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan yang boleh memburukkan lagi situasi bekalan dalam negara.


“Terdapat tiga strategi utama iaitu meningkatkan pengawasan rantaian bekalan termasuk di stesen minyak dan sempadan, pelaksanaan OPS-4.0 secara bersepadu bersama KPDN, polis dan APMM serta pendekatan ‘whole-of-nation’,” katanya.


Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan bekalan keperluan asas negara kekal stabil dalam situasi krisis global.


“Kerajaan akan terus memastikan segala langkah yang diambil adalah menyeluruh dan berkesan demi menjamin kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara,” katanya.


Terdahulu beliau menjelaskan konflik di rantau itu tidak lagi boleh dilihat sebagai isu luar semata-mata sebaliknya telah berkembang menjadi krisis tenaga global yang menjejaskan rantaian bekalan dan ekonomi domestik.


"Keutamaan kerajaan ketika ini adalah jelas. Pertama, memastikan kehidupan rakyat dapat diteruskan. Rakyat mahu tahu sama ada bekalan asas kekal terjamin, harga dipantau dan ekonomi negara terus berfungsi dengan baik," ujarnya.


Akmal Nasrullah berkata cabaran utama kerajaan ketika ini adalah bagi menjamin bekalan tenaga yang mencukupi bermula Jun dan seterusnya.


Untuk itu katanya MTEN mengambil pelbagai langkah mitigasi termasuk melakukan pemantauan harga secara berkala, penganjuran jualan harga berpatutan serta pencegahan aktiviti penyeludupan di sempadan.


"MTEN bersetuju supaya pemantauan dilaksanakan secara lebih terperinci menggunakan data berfrekuensi tinggi bagi setiap sektor dengan maklumat diperoleh daripada agensi pengawal selia dan pemain industri berkaitan.


"Tujuannya jelas supaya kita boleh mengesan tekanan lebih awal, mengenal pasti sektor yang paling terjejas dan mengambil tindakan dengan lebih cepat," katanya.


Sementara itu, jelas Akmal Nasrullah kementeriannya diberi tanggungjawab menyelaras tindakan bersepadu merangkumi dasar makro, fiskal dan sektoral termasuk usaha mempelbagaikan sumber bahan api dan memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan dagang utama.


Petronas bersama agensi berkaitan sedang melaksanakan usaha tersebut manakala Bank Negara Malaysia menyediakan sokongan pembiayaan kepada firma terjejas, ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page