top of page

Harga minyak ditentukan pasaran global, bukan kapal lepas sekatan Selat Hormuz

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berhubung mengapakah harga minyak apungan tanpa subsidi di negara ini terus naik sedangkan kapal tangki Malaysia telah berjaya melepasi Selat Hormuz disifatkan sebagai naratif mengelirukan kerana ia mengabaikan hakikat bahawa harga minyak dipacu oleh pasaran global, bukan pergerakan fizikal kapal semata-mata.


Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, harga minyak dunia tidak pernah ditentukan secara langsung oleh sekatan di Selat Hormuz sebaliknya perlu mengambil kira nilai insurans kapal dan kos pengangkutan yang telah meningkat berkali ganda sejak konflik Timur Tengah bermula sebulan lalu.


"Konflik yang berlaku (sekarang ini) yang menyebabkan bekalan minyak dunia disekat, (sekali gus) permintaan global menjadi tinggi. Apabila permintaan tinggi dan berlaku perang, maka berlaku spekulasi dalam pasaran.

Eddiarman Mohd Yunos
Eddiarman Mohd Yunos

"Ceritanya mudah.. kapal (dari Malaysia) lepas untuk ambil minyak, tapi harga (minyak) belum tentu lagi boleh diturunkan sebab di Timur Tengah masih bergolak.


"(Maka pada masa sama), spekulasi pasaran akan berlaku setiap hari dan hampir setiap masa oleh pemain pasaran," katanya.


Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai muat naik Shahidan yang mendakwa, "Dulu tak boleh melalui Selat Hormuz, harga minyak naik 80 sen. Kini sudah boleh melalui tanpa sekatan, namun harga masih meningkat 50 sen. Akhirnya hanya tinggal satu pilihan, iaitu menurunkan harga minyak atau rakyat akan ‘menurunkan’ kerajaan."


Kenyataan tersebut ditulis oleh Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat di platform media sosial miliknya pada 1 April lalu.


Eddiarman menyifatkan kenyataan itu tidak wajar disampaikan kepada masyarakat, memandangkan Shahidan merupakan ahli politik berpengalaman dan berpengaruh.


Katanya, sebagai Ahli Parlimen, Shahidan perlu mengetepikan kepentingan politik dan menumpukan usaha memastikan kelangsungan negara dalam menghadapi krisis ekonomi.


"Bagi saya adalah lebih baik jika Shahidan menjelaskan perkara sebenar dalam keadaan krisis global yang boleh dikatakan di luar kawalan kita.


"Apa yang boleh kita kawal adalah keadaan dalam negara dan bagaimana memastikan bekalan minyak mencukupi untuk kegunaan harian, serta bagaimana mengawal harga supaya tidak membebankan rakyat.


"Bagi saya, langkah Kerajaan MADANI seperti menyelaraskan semula peruntukan subsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter, mengekalkan subsid BUDI Diesel, mengawal penyeludupan minyak dan melaksanakan dasar kerja dari rumah (BDR) bagi jabatan kerajaan tertentu merupakan antara langkah penjimatan yang melindungi rakyat," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page