top of page

Konvoi motorsikal Pas-PN: Rakyat patut berjimat, mengapa galak bazir subsidi?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Konvoi bermotosikal melibatkan empat Menteri Besar dari negeri pembangkang SG4 mengundang kecaman apabila dianggap tidak sensitif terhadap keadaan semasa, khususnya ketika dunia berdepan krisis bahan api yang semakin meruncing


Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee (gambar) berkata, berdasarkan situasi semasa, beliau yakin peserta konvoi berkenaan menggunakan petrol subsidi RON95 di bawah BUDI95.


Manakala alasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa peserta konvoi menggunakan wang saku sendiri membeli minyak dianggap tidak bertanggungjawab kerana beliau sepatutnya memahami hasrat Kerajaan Persekutuan agar rakyat berjimat kerana dana mensubsidi minyak itu asalnya daripada hasil daripada cukai dan pendapatan negara yang tidak wajar dibazirkan sesuka hati.


"Hari ini, rakyat menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter melalui BUDI95, berbanding harga pasaran sebenar yang jauh lebih tinggi iaitu RM 3.87 seliter.


"Ini bermakna hampir 50% daripada kos bahan api tersebut ditanggung oleh kerajaan dan secara langsung oleh rakyat Malaysia.


"Justeru, dakwaan bahawa konvoi tidak melibatkan dana kerajaan (atau sebagainya) adalah tidak tepat sama sekali.


"Realitinya, sebahagian besar kos bahan api yang digunakan dalam konvoi tersebut disubsidi dan itu adalah wang rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau membidas kenyataan Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas mendakwa peserta konvoi menggunakan wang sendiri dan bukannya dana kerajaan.


Jalex menyifatkan kenyataan itu bukan sahaja mengelirukan malah cuba memperdaya rakyat.


"Dalam suasana dunia yang sedang berdepan krisis tenaga global, tindakan menganjurkan konvoi jelas tidak mencerminkan keutamaan sebenar.


"Rakyat memerlukan penyelesaian, bukan retorik politik yang membazir dan tidak membawa manfaat.


"Adalah lebih wajar tenaga dan masa digunakan untuk merangka dasar yang membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, bukannya menganjurkan program yang secara tidak langsung membebankan kewangan negara," tempelak beliau lagi.


Pada 4 April lalu, lebih 1,000 buah motosikal daripada pelbagai latar belakang peserta menyertai konvoi berkenaan yang diadakan di Kuala Nerus.


Konvoi Bersama 4 Menteri Besar SG4 itu diadakan sempena Perhimpunan Penyatuan Ummah Antarabangsa Kelima bersama Himpunan Dunia Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, di Kuala Nerus.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page