Krisis tenaga global: Kerajaan MADANI umum langkah segera bantu PMKS
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI mengumumkan beberapa langkah segera bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan tekanan kos susulan krisis tenaga global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.
"Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasa dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan.
"Ini bukan situasi sementara, kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan sementara itu berkata, antara bantuan yang bakal disalurkan kepada sektor PMKS antaranya jaminan tambahan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk sektor pembinaan, pertanian, logistik dan pelancongan.
"Jaminan bagi sektor yang terkesan ini ditambah baik berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, serta melanjutkan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding 7 tahun.
"SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahcara penstrukturan dan penjadualan semulan pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar," katanya dipetik.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengumumkan kelonggaran pelaksanaan e-invois bagi meringankan beban pematuhan dalam kalangan PMKS.
"Pelaksanaan e-invois Fasa 4 diberikan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2027 bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, termasuk kelonggaran tanpa penalti sepanjang tempoh tersebut.
"Bagi menyokong aktiviti perdagangan, kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian interim duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang terjejas akibat gangguan eksport, sehingga 31 Disember 2026," tambah Perdana Menteri.




Comments