top of page

Krisis tenaga global: KDN pergiat penguatkuasaan tangani penyeludupan

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • Apr 21
  • 1 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu dalam menangani impak krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan keselamatan ekonomi negara.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, hasil operasi dilaksana pihaknya bagi tempoh 12 hingga 16 April lalu mencatatkan nilai rampasan RM11.05 juta.


Operasi berkenaan turut membawa kejayaan penahanan 40 individu, melibatkan 18 kes diesel dengan nilai rampasan RM10.41 juta, sembilan kes petrol (RM413,209.40) serta lima kes gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak (RM153,628).


"Selain itu, tindakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut merampas aset logistik termasuk 30 tong gas, bot kargo dan enjin sangkut di perairan Tawau, Sabah," katanya menerusi catatan di Facebook Kementerian itu.


Hantaran tersebut turut berkongsikan Laporan Status Keselamatan dan Penguatkuasaan KDN: Impak Krisis Asia Barat, bertarikh 16 April.


Sementara itu, Saifuddin turut menyifatkan operasi yang dilaksanakan itu sebagai bukti komitmen KDN memastikan ketirisan sumber tenaga dibendung secara menyeluruh.


Dalam masa sama beliau mengulangi pendirian tiada kompromi terhadap ketirisan dan penyeludupan.


"KDN akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan kecekapan operasi demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.


"Penguatkuasaan akan terus diperkasa secara bersepadu dan berasaskan data," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page