top of page

Krisis takhta NS: Biar pemimpin adat selesaikan, ahli politik jangan campur

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
56 minutes ago
2 min read
Senator Dr Jufitri Joha. Gambar arkib
Senator Dr Jufitri Joha. Gambar arkib

Ahli politik tidak wajar campur tangan dalam isu adat di Negeri Sembilan, sebaliknya perlu menyerahkan kepada pemimpin adat yang sememangnya lebih arif dan mahir dalam mengendalikan perkara berkaitan adat.


Ahli Dewan Negara, Senator Dr Jufitri Joha berkata, orang luar Negeri Sembilan yang tidak memahami adat juga dinasihatkan agar berhati-hati dalam memberikan komen memandangkan isu berkenaan kini semakin rumit dan berdepan kekusutan yang mendalam.


Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapakah Menteri Besar Datuk Ismail Lasim hadir menandatangani Surat Cara Proklamasi pada 3 Ogos lalu, dan kemudian mendakwa beliau dipaksa melakukannya.


"Hanya orang adat sahaja wajar menangani isu ini sesama mereka.


"Cuma persoalan saya kenapa Tok Ismail hadir pada pertemuan 3 Ogos tersebut? Sepatutnya dielakkan dari awal.


"Sekali lagi (saya katakan) isu ini sangat rumit dan sudah agak terlalu kusut kerana di Negeri Sembilan ada pemerintah bersama. Jadi kita mahu biarlah pemimpin adat yang selesaikan isu ini," katanya.


Terdahulu, Ismail berkata dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang beliau tandatangani seperti tular sebelum ini, dibuat tanpa kerelaan dan dilakukan secara paksaan.


Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang kelmarin bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.


Mengulas mengenai isu terkait sikap anti rasuah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai dan hasrat Umno untuk melihat mantan Perdana Menteri, Najib Razak dibebaskan daripada penjara, Jufitri berpendapat adalah lebih baik segala prosiding berkaitan Najib diselesaikan terlebih dahulu di mahkamah dan semua penghakiman kes beliau dibuat sebelum perkara itu dibawa ke perbincangan mengenai pengampunan diraja.


"Berikan juga ruang dan kepercayaan kepada Lembaga Pengampunan untuk bersidang mengambil kira syor-syor dan pandangan perundangan serta titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan apa jua bentuk hukuman dan pengampunan kepada mana-mana pesalah di negara ini.


"Tidak molek mendahului pandangan Lembaga Pengampunan yang sudah biasa bersidang beberapa kali sebelum ini dan mengambil kira kepakaran, pengalaman serta hikmah ahli Lembaga Pengampunan," ujarnya beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Rembau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page