top of page

Krisis politik Perlis: Pas-PN salah percaturan?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
ree

Isu politik yang melanda Kerajaan Negeri Perlis pada ketika ini dilihat berpunca daripada kegagalan pengurusan dalaman Perikatan Nasional (PN) sendiri, apabila segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri menghantar Akuan Berkanun (SD) yang mencetuskan krisis Perlembagaan di negeri itu.


Pengulas politik, Liyana Marzuki berkata, situasi berkenaan ironis memandangkan sebelum ini pelbagai desakan dibuat supaya Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan didesak agar meletakkan jawatan namun Kerajaan Madani kekal stabil. Sebaliknya, kata beliau kerajaan PN-Pas pula bergolak.


"Tiba-tiba minggu ini, yang nak ditumbangkan ialah Kerajaan Negeri Perlis. Ironinya, bukan Madani yang ditebuk atap, tetapi PN tebuk atap negeri sendiri," sinis Liyana dalam muat naik di media sosial.


Menurut beliau, tindakan lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas menghantar SD bagi menumbangkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta melantik pemimpin lain telah membuka lembaran baharu krisis politik di negeri itu.


"Saya tetap pro-perpaduan dan pro-kestabilan, di pusat dan di negeri. Kalau boleh, saya nak Menteri Besar Perlis habiskan mandat. Kenapa Bersatu sibuk nak kacau?" soal beliau.


Liyana turut mempersoalkan langkah Pas yang memecat atau 'menghentikan keahlian' ke atas tiga ADUN dari parti itu yang mahu menumbangkan MB.


Menurut beliau, hal itu mengulangi kesilapan sama seperti pemecatan beberapa Ahli Parlimen oleh Bersatu sebelum ini.


"Pas memecat tiga ADUN semalam. Ini sama seperti Bersatu memecat tujuh MP yang menyokong PMX dahulu. Masalahnya, pemecatan oleh parti tidak mengosongkan kerusi (berdasarkan Akta Anti Lompat Parti peringkat Persekutuan)," jelasnya.


Beliau menegaskan bahawa di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, ADUN yang dipecat parti tidak dianggap melompat parti, justeru kerusi mereka tidak dikosongkan dan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan.


Mengulas langkah sepatutnya diambil, Liyana berpandangan bahawa perlembagaan parti perlu memasukkan klausa pelucutan keahlian secara automatik sekiranya wakil rakyat melanggar keputusan parti.


"Kalau lucut status ahli, barulah jatuh bawah Perkara 50A(1)(a)(ii) dan kerusi perlu dikosongkan," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau berharap krisis berkenaan dapat diselesaikan segera demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.


"Bila ahli politik gagal kawal diri, kita sandarkan harapan kepada Istana sebagai semak dan imbang," ujarnya.


Krisis politik Perlis kini dilihat sebagai ujian penting terhadap kematangan politik serta kefahaman perlembagaan dalam kalangan parti-parti politik.


Mengenai isu pecat atau “berhenti keahlian” sebagaimana digunakan oleh Pas bagi mengosongkan kerusi DUN, kata Liyana hal itu dimaklumi beliau.


Namun dari sudut kesan perundangan, katanya, isu utama yang dibincangkan adalah implikasi terhadap kerusi dan tafsiran Perkara 50A Perlembagaan yang kekal sama kesannya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page