Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berpandangan bahawa krisis politik negerinya telah mencerminkan kegagalan sebuah pentadbiran merupakan tamparan hebat kepada semua ahli politik di negara ini.
Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador berkata ahli-ahli politik perlu bermuhasabah diri dan mengukuhkan pentadbiran negeri bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.
"Tahniah di atas pelantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
"Menjunjung titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, krisis politik ini telah mencerminkan kegagalan sebuah pentadbiran dan adalah penting bagi ahli-ahli politik untuk menumpukan fikiran dan tenaga kepada pentadbiran negeri demi kepentingan rakyat," katanya dalam kenyataan.
Titah Sultan Perak dibuat ketika majlis istiadat pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar Perak baharu, menjadikan ia istiadat kali ketiga dalam tempoh dua tahun.
Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Menteri Besar Perak Ke-12 pada 12 Mei 2018 selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Besar Ke-13 pada 13 Mac 2020 ekoran peristiwa Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu meninggalkan PH dan disokong oleh beberapa ahli parlimen KEADILAN, Barisan Nasional (BN) dan Pas untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Namun, Faizal disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar Perak apabila gagal meraih sokongan majoriti dalam usul undi percaya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau hanya mendapat 10 sokongan ADUN iaitu 5 dari Bersatu, 3 dari Pas, 1 ADUN Gerakan dan satu lagi ADUN Bebas manakala 25 ADUN Umno dan 24 ADUN PH menolak usul tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan baharu negeri Perak akhirnya dibentuk oleh PN apabila 10 ADUN PN dan 25 ADUN Umno bersetuju untuk memberi sokongan kepada Saarani sebagai Menteri Besar Perak meskipun terdapat perbalahan antara komponen parti.
Disebalik kemelut politik di negeri itu, Farhash memberi jaminan bahawa KEADILAN Perak dan PH akan terus memainkan peranannya sebagai pembangkang.
"KEADILAN Perak bersama PH akan terus berkhidmat kepada rakyat sebagai pembangkang di dalam perbahasan belanjawan negeri yang akan datang.
"Marilah kita bekerjasama dalam menjamin masa depan rakyat ketika menghadapi dunia pasca Covid-19," katanya.
Comments