Krisis PN semakin berliku, sukar temui titik penyelesaian
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Bukan sahaja 'jantung' PN semakin lemah tetapi hampir seluruh tubuh semakin mereput apabila seorang demi seorang pimpinan pusat dan negeri meletak jawatan.
Perikatan Nasional (PN) terus berdepan krisis yang sukar dijangka dan kelihatan semakin berliku untuk ditemui titik penyelesaiannya.
Selepas hubungan tegang antara Pas dan Bersatu berikutan pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, episod seterusnya yang berlaku ialah peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
Peletakan jawatan itu berikutan beberapa pimpinan Pas secara terbuka menyalahkan beliau atas apa yang berlaku di Perlis.
Selepas Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, kemudian menyusul pula Azmin Ali meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor.
Seterusnya Dr Shahruddin Jamal dan Ahmad Faizal Azumu turut meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Johor dan Perak.
Selepas ini, tidak mustahil ada lagi yang akan berbuat demikian.
PN bakal lebih berpecah
Yang nyata PN sekarang tidak menentu dan tidak mustahil lebih berpecah lagi.

Sementara itu, Pas turut memutuskan untuk tidak menyertai Kerajaan Negeri Perlis pimpinan Abu Bakar dan menolak semua jawatan Exco Kerajaan Negeri, meskipun parti itu tetap menyokong PN memimpin negeri itu sehingga PRU akan datang.
Keadaan itu bukan saja merumitkan kedudukan Kerajaan Negeri Perlis, malah meletakkan PN dan hubungan antara Pas dengan Bersatu terus dalam keadaan tegang.
Apa jadi kepada PN seterusnya?
Sebenarnya sukar dijangka apa akan berlaku selepas ini kepada gabungan itu.
Yang pasti, PN selepas ini terpaksa menghabiskan banyak masa serta tenaga untuk menyelesaikan krisis dan persengketaan dalaman mereka.
Pas dan Bersatu sejak berlaku krisis di Perlis sudah mula serang menyerang secara terbuka dan tidak lagi seperti sahabat yang mesra sebagaimana sebelum ini.
Akan terus wujudkah PN selepas ini atau gabungan itu bakal berkubur seperti mana matinya Muafakat Nasional?





