Krisis PN Perlis bukti kepimpinan utamakan kuasa, bukan rakyat - Amin
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Krisis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis membuktikan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) lebih mementingkan percaturan kuasa politik berbanding kestabilan pentadbiran dan kepentingan rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Noor Amin Ahmad (gambar), berkata situasi tersebut langsung tidak mencerminkan kematangan politik memandangkan Pas dan Bersatu memiliki majoriti selesa dengan gabungan 14 kerusi DUN untuk mentadbir negeri.
Menurut beliau, sebarang isu dalaman termasuk pertukaran Menteri Besar seharusnya diselesaikan secara tertib melalui rundingan dalaman parti, bukannya sehingga mencetuskan penggantungan keahlian Pas secara serta-merta yang membawa kepada kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN.
"No pressure daripada BN atau PH, tiada langsung. Ini jelas isu dalaman—soal siapa naik, siapa turun. Rombakan Exco pun sudah dibuat, namun masalah tetap tidak selesai.
"Bukan Menteri Besar tak boleh ditukar tetapi dengan majoriti besar, PN gagal memanfaatkan kelebihan itu untuk berbincang secara matang. Ini menunjukkan kelemahan kepimpinan," katanya dipetik.
Tambah Noor Amin, kegagalan mengurus konflik dalaman turut menyeret institusi istana ke dalam kemelut politik, sedangkan isu berkenaan bersifat remeh dan boleh diselesaikan tanpa mencetuskan krisis perlembagaan.
Mengulas kenyataan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berhubung keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) demi kestabilan Kerajaan Negeri, Noor Amin berpandangan ia memberi gambaran jelas bahawa ADUN Bersatu di Perlis tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri.
"Sekiranya PRK diadakan, ia membuka ruang terbaik untuk memperkukuh kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) demi memastikan pentadbiran negeri kembali stabil dan fokus kepada kebajikan rakyat," katanya.









Comments