Krisis Perlis bukti Pas-PN gagal tadbir, utamakan berebut kuasa
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar), menyifatkan kemelut politik yang melanda Perlis ketika ini sebagai kegagalan nyata Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam mengurus tadbir Kerajaan Negeri paling kecil di Malaysia, sehingga menyaksikan konflik dalaman sesama sendiri.
Menurut beliau, keadaan di Perlis bukan sekadar perbezaan pandangan, sebaliknya telah berubah menjadi pertembungan terbuka antara pimpinan Kerajaan Negeri daripada gabungan yang sama.
"Apa yang berlaku adalah potret sebenar kegagalan Pas-PN apabila diberi kuasa tanpa disiplin dan tanpa keupayaan mentadbir. Ini bukan lagi isu perbezaan pandangan, tetapi perang terbuka dalam sebuah kerajaan. Exco dan ADUN PN lawan Menteri Besar PN dan ADUN Pas melawan Pas sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz berkata, krisis tersebut bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan lebih setahun walaupun pelbagai usaha dalaman dilakukan termasuk pertukaran Pesuruhjaya Pas, pelantikan Pengerusi PN yang baharu serta rundingan tertutup.
"Semuanya gagal. Ini membuktikan satu hakikat yang tidak boleh disangkal, masalah sebenar ialah perebutan kuasa dalaman Pas dan kegagalan PN mengawal gabungan sendiri," ujarnya.
Beliau turut menyifatkan situasi di negeri paling utara Semenanjung itu sebagai amat memalukan dan membuatnya kehairanan kerana wakil rakyat PN yang sanggup memalukan diri dengan 'tebuk atap' kerajaan sendiri.
"Apa yang berlaku hari ini ialah politik tebuk atap tahap paling hina dan mereka menebuk atap rumah yang mereka sendiri bina dan dirikan.
"Sebelum ini dalam tahun 2020 mereka tebuk atap rumah orang (Pakatan Harapan) kerana nak mencuri dan kini atap rumah sendiri yang ditebuk.
"Dulu kala orang tebuk atap rumah sendiri sebab nak halau hantu raya atau pelesit yang tuan rumah bela, dan dia sedang nazak. Lalu kaum keluarga panggil bomoh mai pelepas. Mungkin ada sungguh pelesit dalam kerajaan Perlis sehingga mandat rakyat dikhianati oleh kerakusan kuasa," sinis Mahfuz.
Hal itu berlaku kata beliau, kerana Pas membawa imej Islam yang tidak sejalan dengan praktik politik mereka sehingga memperlihatkan Islam Pas tidak lebih daripada percaturan kuasa.
Sehubungan itu, Mahfuz menegaskan bahawa rakyat Perlis lah yang menjadi mangsa kepada perbalahan politik berpanjangan, sehingga pentadbiran negeri terabai dan keyakinan rakyat semakin merosot.
"Pas gagal mentadbir, PN gagal mengawal. Negeri sekecil Perlis pun ke laut. Yang runtuh bukan musuh mereka (Kerajaan Perpaduan), tetapi keupayaan mereka sendiri untuk memerintah," katanya.









Comments