top of page

Krisis Pas-Bersatu: Dalam keadaan sukar, wajarkah Pengerusi PN berdiam diri?

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Kemelut hubungan antara Pas dan Bersatu dilihat bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai masa depan Perikatan Nasional (PN) malah menguji kewibawaan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Bagi aktivis Pakatan Harapan Terengganu, Awang Muda, sebagai pengerusi gabungan Samsuri seharusnya memberikan penjelasan rasmi mengenai dua parti komponen yang sedang bertelagah hebat, memutuskan hubungan tetapi masih enggan isytihar keluar PN.


"Sebagai pengerusi gabungan, Dr Samsuri perlu tampil menjelaskan pendirian rasmi PN dan memainkan peranan menyelaras hubungan antara parti-parti komponen. Namun sehingga kini, beliau dilihat kurang menonjol dalam memberikan penjelasan berhubung krisis yang sedang berlaku," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Awang, keadaan tersebut menimbulkan persoalan mengenai fungsi dan autoriti sebenar jawatan Pengerusi PN yang dalam perlembagaan gabungan itu berkuasa besar menentukan hala tuju PN.


"Jika isu sebesar hubungan Pas-Bersatu tidak dapat dijelaskan oleh pengerusi gabungan sendiri, rakyat berhak bertanya siapakah yang sebenarnya menentukan hala tuju dan keputusan strategik PN," ujarnya.


Beliau tertanya tanya dengan kaliber Dr Samsuri yang pernah diuar uar sebagai calon Perdana Menteri dari PN, tetapi seolah olah tidak berdaya mengurus krisis, dan bertindak lebih sebagai Naib Presiden Pas yang tunduk kepada keputusan Presiden Hj Hadi berbanding Pengerusi PN.


"Dr Samsuri sering disebut-sebut sebagai pemimpin masa depan Pas dan berpotensi sebagai calon Perdana Menteri. Namun kepimpinan nasional bukan sekadar soal jawatan, tetapi keupayaan membuat keputusan dan memimpin ketika keadaan sukar," sinisnya.


Tambah beliau, naratif berkaitan masa depan PN yang lebih banyak ditentukan oleh pimpinan parti komponen lain turut mewujudkan persepsi bahawa Dr Samsuri masih dibayangi pengaruh kepimpinan Pas dalam gabungan tersebut.


"Sebagai gabungan yang bercita-cita menjadi kerajaan Persekutuan, PN perlu menunjukkan keupayaan mengurus perbezaan pendapat secara matang dan berkesan," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menggesa Dr Samsuri tampil memberikan penjelasan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan gabungan tersebut.


Menurut beliau lagi, kewibawaan seseorang pemimpin hanya dapat dibuktikan melalui tindakan, terutama ketika berdepan krisis berat.


"Dalam politik, jawatan boleh diberikan oleh parti, tetapi kewibawaan hanya dapat dibuktikan melalui tindakan. Dan ketika krisis inilah rakyat sedang menilai kemampuan sebenar Dr Samsuri sebagai seorang pemimpin nasional," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page