top of page

Krisis N Sembilan: Kedaulatan undang undang asas kekuatan institusi – Saifuddin

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read
 Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar arkib
 Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar arkib

Prinsip kedaulatan undang-undang dan tatakelola yang baik perlu sentiasa dipertahankan dalam urusan pentadbiran negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Beliau berkata, isu penggantungan tugas secara serta-merta terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal baru baru ini menunjukkan pentingnya setiap tindakan pentadbiran dibuat berdasarkan bidang kuasa serta peruntukan undang-undang.


"Dalam urusan pentadbiran negara, prinsip kedaulatan undang-undang dan tatakelola yang baik mesti sentiasa dipertahankan," katanya dalam kenyataan.


Menurut Saifuddin, ketetapan Bahagian Perlembagaan dan Undang-Undang Negeri, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai kanan berkenaan.


"Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) menetapkan bahawa urusan pelantikan mahupun penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan utama ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan," katanya.


Beliau berkata kejelasan perundangan yang ditegaskan Kerajaan Persekutuan melalui AGC mencerminkan komitmen memastikan prinsip tatakelola, keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipelihara.


"Tiada mana-mana pihak boleh bertindak secara unilateral melangkaui bidang kuasa serta peruntukan perlembagaan yang telah ditetapkan," katanya.


Saifuddin berkata setiap kuasa dalam pentadbiran negara datang bersama batas dan tanggungjawab, manakala penghormatan terhadap batas itu menjadi asas kepada kekuatan institusi serta keyakinan terhadap sistem pentadbiran.


Dalam pada itu, beliau menegaskan penjawat awam yang menjalankan amanah dan tanggungjawab perlu dilindungi daripada tindakan yang tidak melalui saluran serta proses perundangan sewajarnya.


Beliau turut berkata semangat amanah menjadi benteng penting dalam memastikan integriti institusi pentadbiran serta keselamatan perkhidmatan awam terus terpelihara daripada tindakan yang dibuat tanpa kuasa yang sah.


"Inilah asas sebuah pentadbiran yang kukuh, kuasa dilaksanakan mengikut undang-undang, institusi dihormati dan amanah kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page