top of page

Krisis N Sembilan jangan diperpanjang, hormati keputusan pimpinan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • May 7
  • 2 min read

Kemelut politik di Negeri Sembilan tidak wajar dipanjangkan selepas kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan membuat keputusan mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri.


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat bersama dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru baru ini menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri kekal utuh dan sebarang usaha menggugat kestabilan tidak mendapat restu kepimpinan Pusat.


Menurut beliau, keputusan itu sepatutnya menamatkan polemik berhubung isu berkenaan namun masih terdapat pihak di UMNO Negeri Sembilan yang bersikap tidak selari dengan pendirian kepimpinan Persekutuan.


"Maknanya mudah. Isu ini telah diputuskan di peringkat tertinggi. Tidak perlu lagi polemik yang berpanjangan.


"Tapi malangnya UMNO Negeri Sembilan masih berdolak-dalik terhadap keputusan yang dibuat oleh Presiden dan kepimpinan tertinggi UMNO," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mahfuz berkata kenyataan bersama kepimpinan Pusat turut membawa mesej disiplin politik yang jelas kepada semua pihak supaya tidak bertindak secara unilateral dalam perkara melibatkan Kerajaan Negeri.


Beliau berkata segala tindakan yang menyentuh sensitiviti politik negeri perlu dirujuk kepada Majlis Perundingan tertinggi kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.


"Ini bermaksud tidak boleh ada gerakan bersendirian atau percaturan politik unilateral.


"Terjemahan politiknya daripada pendirian ini ialah apa sahaja tindakan sebelum ini yang tidak selari dengan semangat kerjasama tidak dipersetujui oleh kepimpinan Pusat," katanya.


Beliau turut menyifatkan kepimpinan Pusat UMNO mengambil pendekatan lebih matang dengan mengutamakan kestabilan kerajaan negeri berbanding mencetuskan ketegangan politik.


"Ini bukan soal menang atau kalah politik dalaman. Ini soal menjaga mandat rakyat dan kestabilan negeri," katanya.


Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak menghentikan serangan terbuka sesama rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan mengelakkan naratif yang boleh membakar sentimen politik.


"Kita tidak pertahankan kesilapan sesiapa, tetapi kita juga tidak benarkan perpecahan melemahkan kerajaan yang dipilih rakyat.


"Kalau ada yang terlalu ghairah bermain politik hingga hampir menggugat kestabilan, kenyataan ini sudah cukup menjadi cermin, bukan semua langkah itu mendapat restu," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page