Krisis N Sembilan: ADUN UMNO perlu sokong pentadbiran sedia ada - Dr Zahid
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap pentadbiran sedia ada di bawah Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan adalah pendirian rasmi parti yang mesti dipatuhi semua ahli UMNO.
Tambahnya, dakwaan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun oleh tiga sayap UMNO negeri itu disifatkan hanya sebagai pandangan peribadi.
"Kita yakin bahawa keberadaan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan adalah keputusan parti dan ia harus dihormati," katanya dipetik.
Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 bersempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Beliau sebelumnya mengulas mengenai tindakan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Negeri Sembilan yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus selepas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias membuat pengumuman mengejutkan bahawa 14 ADUN UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Negeri.
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam sebelum ini berkata, keputusan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan tidak dibuat secara sebulat suara dan tidak mendapat restu pimpinan UMNO Pusat.
Malah beliau berkata Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak mengetahui dan tidak bersetuju dengan langkah dilakukan Jalaluddin Alias itu.
