Krisis di Myanmar tidak lagi boleh dianggap sebagai hal ehwal dalam negara kerana ia telah memberi kesan kepada negara jiran termasuk Thailand, Malaysia dan Indonesia, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas isu kebanjiran pelarian yang melarikan diri dari negara itu akibat konflik, Anwar menyeru ASEAN untuk mencari strategi dan pendekatan baharu dalam menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di negara itu.
"Konflik Myanmar nampaknya tidak akan selesai dalam masa terdekat melainkan ASEAN menyemak semula, mengenai apa, itu kita perlu bincangkan.
"'ASEAN Way' sangat produktif dalam menangani banyak isu lain (di rantau ini). Bagaimanapun, 'ASEAN Way' perlu disemak semula apabila melibatkan krisis Myanmar kerana penglibatan konstruktif tidak berfungsi dalam hal ini," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Thai Public Broadcasting Service (PBS Thai) baru-baru ini.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menerusi kemas kini situasi kemanusiaan di Myanmar setakat 31 Mei lalu memaklumkan hampir 700,000 rakyat Myanmar hilang tempat tinggal akibat konflik susulan rampasan kuasa pada Februari 2021.
Rampasan kuasa itu juga menyaksikan peningkatan pertempuran, memburukkan lagi konflik kemanusiaan yang sedia ada.
Menurut angka PBB, bilangan pelarian di dalam negara sejak tentera mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2021 secara keseluruhan melebihi satu juta dengan lebih 12,700 harta awam, termasuk rumah, gereja, biara, dan sekolah telah musnah.
Sementara itu Anwar menjelaskan, pada empat siri lawatan rasminya ke Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand baru-baru ini, isu mengenai konflik di Myanmar telah dibincangkan dengan rakan-rakan sejawatannya.
"Memandangkan Indonesia mengetuai (Pengerusi ASEAN tahun ini), Anwar berkata dalam satu atau dua minggu akan datang beliau akan bertemu dengan Presiden Indonesia Jokowi (Joko Widodo) bagi sekali lagi membincangkan konflik di Myanmar.
"Saya akan memberi pandangan apa yang telah berlaku (di Myanmar) dan meminta pandangannya serta merangka strategi baharu," kata Pengerusi Pakatan Harapan itu pada temu bual tersebut.
Comments