Krisis minyak Thailand: 30% stesen ditutup, rakyat Malaysia patut bersyukur — Lokman
- Suara Keadilan

- Mar 20
- 2 min read

Krisis bekalan minyak yang melanda negara jiran Thailand wajar dijadikan peringatan kepada rakyat Malaysia agar lebih menghargai kestabilan dan nikmat yang dikecapi ketika ini.
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata situasi di negara jiran itu menyaksikan hampir 30 peratus stesen minyak terpaksa ditutup, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan pelancong untuk bergerak.
Menurut beliau, keadaan tersebut berbeza dengan Malaysia yang masih menikmati kestabilan bekalan bahan api tanpa gangguan setakat ini.
"Alhamdulillah, sehingga hari ini Malaysia masih stabil. Tiada laporan stesen minyak ditutup akibat kekurangan bekalan.
"Rakyat masih boleh bergerak bebas, menjalankan rutin harian tanpa rasa cemas," katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Madani masih mampu mengekalkan subsidi bahan api, termasuk inisiatif BUDI95 yang memberi kelegaan besar kepada rakyat.
"Lebih besar daripada itu, kerajaan masih mengekalkan subsidi bahan api, satu bentuk keprihatinan yang memberi kelegaan kepada rakyat marhaen," ujarnya.
Dalam masa sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu mengingatkan bahawa nikmat kestabilan tidak wajar dipandang ringan kerana ia boleh berubah jika tidak dihargai.
"Bayangkan jika nikmat ini ditarik seketika, pasti kita akan merasai betapa sukarnya kehidupan tanpa jaminan bekalan asas yang sangat penting."
Mengulas lanjut, beliau memetik ayat daripada Surah Ar-Rahman mafhumnya: "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?".
"Ayat ini bukan sekadar bacaan, tetapi satu teguran agar manusia tidak lupa diri. Nikmat keamanan, kestabilan ekonomi dan bekalan mencukupi adalah anugerah yang wajib disyukuri," ujarnya.
Sehubungan itu, Lokman menyeru rakyat untuk mengambil iktibar daripada krisis di Thailand serta mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan negara.
"Lebih-lebih lagi kita kini berada di penghujung Ramadan, bulan yang penuh keberkatan. Inilah waktu terbaik untuk kita menadah tangan, berdoa agar Allah SWT untuk terus melindungi Malaysia daripada segala musibah, sama ada krisis ekonomi, kekurangan bekalan atau perpecahan dalam masyarakat.
"Namun, dalam kita berbicara tentang nikmat, jangan kita lupa tentang ancaman kepada mereka yang kufur nikmat. Dalam ajaran Islam, sikap tidak bersyukur bukan sekadar kelemahan moral, tetapi boleh mengundang bala. Nikmat boleh ditarik, keberkatan boleh hilang dan keamanan boleh bertukar menjadi kesusahan jika manusia terus lalai dan sombong," katanya.
Tegas Lokman, sejarah telah membuktikan banyak tamadun runtuh bukan kerana kekurangan sumber tetapi kerana manusia gagal menghargai apa yang mereka miliki.
"Sudah sampai masa kita ketepikan sentimen politik sempit demi masa depan negara," katanya lagi.




Comments