Krisis dalaman PN lanjutan kelemahan tadbir, kekeringan idea PN
- Suara Keadilan
- 47 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perpecahan dalaman Perikatan Nasional (PN) ketika ini bukan sekadar krisis kepimpinan, tetapi cerminan kepada kegagalan sebuah gabungan yang gagal menawarkan hala tuju, dasar dan harapan sebenar kepada rakyat.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (gambar) berkata, meskipun PN pernah mencatatkan prestasi yang agak memberangsangkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dan pilihan raya negeri sebelum ini namun gabungan itu tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak selain diri sendiri atas kemelut yang sedang melanda.
Beliau berkata, sepanjang tiga tahun lalu, PN gagal mengemukakan satu pun tawaran dasar yang benar-benar meyakinkan atau mampu menandingi Kerajaan Perpaduan dan tiada pelan dasar alternatif yang konsisten dibentangkan, apatah lagi dibahaskan secara serius di peringkat awam.
Malah katanya, prestasi pentadbiran di empat negeri di bawah tadbiran PN juga gagal menampilkan kekuatan yang meyakinkan, meskipun blok 'S4' telah dibentuk.
"Persepsi rakyat terhadap negeri-negeri ini kekal negatif dicirikan oleh kelemahan tadbir urus, prestasi ekonomi yang hambar, serta beberapa episod salah urus.
"Dari sudut kebertanggungjawaban Parlimen pula, prestasi PN juga mengecewakan. Dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang saya turut anggotai, kehadiran dan penglibatan wakil pembangkang sering kali tidak memuaskan.
"Keadaan ini secara langsung melemahkan dakwaan PN sebagai pembangkang yang berfungsi sebagai semak dan imbang yang berkesan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Chean Chung, apa yang benar-benar menonjol hanyalah keupayaan PN mengeksploitasi sentimen perkauman dan keagamaan secara berterusan.
Namun ujar Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, strategi yang dimainkan PN melibatkan isu 3R (kaum, agama dan raja) akhirnya terbukti memakan diri.
"Ia bukan sahaja menjarakkan rakyat yang menolak politik perpecahan, malah akhirnya melelahkan penyokong sendiri akibat pengulangan naratif negatif yang sama.
"Ringkasnya, PN gagal memposisikan dirinya sebagai pembangkang yang berwibawa dan berteras dasar, apatah lagi menawarkan visi alternatif yang membina untuk rakyat.
"Sepanjang pengalaman saya melalui era Pakatan Rakyat (PR), Pakatan Harapan (PH) dan kini Kerajaan Perpaduan, satu pengajaran jelas dapat dirumuskan iaitu sokongan politik yang mampan tidak boleh dibina atas ketakutan, sentimen kebencian atau sekadar menjadi 'pilihan paling kurang buruk'.
"Ia hanya boleh diperkukuh melalui politik harapan yang berteraskan kepercayaan dan keupayaan mentadbir. Itulah elemen yang jelas masih belum dimiliki PN hari ini," katanya lagi.





