top of page

Krisis dalaman Bersatu ibarat 'bom jangka' menunggu meledak?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 15
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin meruncing apabila parti itu memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga salah seorang pengasas parti berkenaan, Datuk Wan Saiful Wan Jan semalam.


Bagi Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Mohammad Izuan Ahmad Kasim, krisis dalaman Bersatu itu mungkin telah sampai ke tahap diibaratkan seperti 'bom jangka' yang menunggu masa untuk meledak.


Katanya, krisis yang berlaku ketika ini berpunca akibat ketidakmampuan pemimpin parti berkenaan mendamaikan kumpulan yang bertelagah - salah satunya dianggotai Wan Saiful - ekoran pemilihan kepimpinan parti itu.


''Dia macam 'time bomb'.. sampai masa akan meletup juga, cuma ia meletup selepas habis pemilihan Bersatu.

Mohammad Izuan Ahmad Kasim
Mohammad Izuan Ahmad Kasim

''Jadi kalau kita tengok 'team' A dan 'team' B (dalam Bersatu) ini suka atau tak suka, benda itu (perpecahan) ada, walau macam mana mereka cuba sembunyikan.


''Walaupun cakap berdegar-degar dalam Perhimpunan Agung Tahunan, tapi benda ini tak boleh nak tutup.


''Sekarang memang 'team' A dan 'team' B ini akan bergaduh sesama mereka,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Ditanya mengenai krisis dalaman Bersatu yang secara tidak langsung dilihat menjadikan Pas sebagai parti yang lebih stabil dalam Perikatan Nasional (PN), Izuan berpendapat Pas tidak perlu lagi menunggu Bersatu, kerana parti itu kini sudah mampu menerajui PN secara sendiri.


Namun katanya, sekiranya Pas melancarkan misi merebut kepimpinan tertinggi PN dari Bersatu maka gabungan itu akan menjadi tidak stabil dan tidak wajar dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 16.


''Gabungan (PN) yang rapuh ini, dia tidak memberi sebarang kesan (baik) kepada kerajaan (sekiranya diberi mandat). Kalau kita lihat pembentukan kerajaan sebelum ini, sudah tiga kali berlaku di mana majoriti tipis menyebabkan kerajaan tidak stabil, akhirnya rakyat pula yang tidak mendapat sebarang manfaat. Pada masa sama ekonomi pun merudum.


"Jadi sekarang terbukti dalam tempoh tiga tahun Kerajaan MADANI, keadaannya stabil dan rakyat dapat banyak manfaat. Ekonomi negara semakin kuat, pelaburan semakin banyak sekali gus memberikan kesan positif kepada masyarakat.


"Jadi, jika kita lihat kembali situasi tahun 2020-2022 ketika PN memerintah, ketidakstabilan politik akan kembali menjadi masalah utama.


"Akibatnya, isu ekonomi tidak lagi menjadi fokus utama, dan rakyat akan turut menanggung kesannya," ujar Izuan yang juga ADUN Kota Damansara.


Semalam Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dipecat daripada Bersatu manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Ahli Parlimen Machang) digantung keahliannya selama satu penggal.


Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal adalah dua daripada enam ahli Bersatu yang dikenakan tindakan oleh badan disiplin parti kerana melanggar peraturan yang ditetapkan parti terbabit.


Empat yang turut dikenakan tindakan dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris dari bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page