top of page

Krisis berpanjangan: Utamakan jaminan bekalan tenaga, barangan asas - PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan utama kerajaan ketika ini adalah menjamin bekalan tenaga dan barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas di tengah krisis tenaga global yang kian meruncing dan dijangka berpanjangan.


Perdana Menteri berkata usaha tersebut digerakkan melalui peranan penting syarikat minyak negara, Petronas serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam bulan-bulan mendatang.


"Keutamaan kita adalah melindungi kesejahteraan rakyat, di samping kekal berdisiplin dan realistik dalam setiap langkah yang diambil," katanya Anwar dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan menampan kenaikan kos turut diperkukuh melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu.


Beliau berkata pengurusan permintaan bahan api turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi penjawat awam bermula hari ini.


Pada masa sama, jelasnya Ops Tiris dipergiat bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.


Bagi jangka sederhana dan panjang, usaha dipercepat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu, ujar beliau.


Dalam hal ini katanya biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.


Katanya pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya.


"Dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah ini bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global.


"Insya-Allah, kita harungi cabaran ini dengan tekad, disiplin dan kebersamaan," katanya.


Selaras dengan langkah tersebut, Kementerian Kewangan semalam mengumumkan kerajaan Madani meningkatkan insentif pembajakan pesawah dari RM160 kepada RM300 sehektar membabitkan 200,000 pesawah dengan peruntukan RM40 juta.


Selain itu sebagai bantuan tambahan, insentif penuaian sebanyak RM50 perhektar semusim diberikan bagi meringankan kos input.


Bantuan tunai Budi Agri-Komoditi dan Budi Diesel individu turut dinaikkan dari RM300 kepada RM400 sebulan pada April. Ini merupakan kenaikan kali kedua susulan krisis tenaga global.


Kenaikan kadar bantuan tunai itu melibatkan 200,000 petani dan 150,000 pemilik kenderaan diesel dengan keseluruhannya memakan kos RM35 juta setahun.


Kementerian Kewangan dijangka menyalurkan subsidi sekitar RM7 bilion pada April termasuk tambahan RM75 juta bagi ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page