top of page

Krisis Asia Barat: Kerajaan jamin bekalan minyak cukup hingga Disember

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 23 minutes ago
  • 3 min read

Malaysia mempertingkat pemantauan terhadap risiko tenaga dan rantaian bekalan global susulan ketegangan baharu di Asia Barat yang mencetuskan tekanan ke atas pasaran minyak, kos logistik dan harga bahan mentah dengan kerajaan memberi jaminan bekalan petroleum negara kekal mencukupi sehingga akhir tahun ini.


Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, perkembangan geopolitik terkini termasuk risiko gangguan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz menjadi antara isu utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.


"Sejak 8 Julai lepas, ketegangan di Asia Barat dilihat kembali meningkat susulan serangan terbaru antara Amerika Syarikat dan Iran. Iran turut mengumumkan penutupan Selat Hormuz walaupun sebahagian trafik komersial dilaporkan masih bergerak," katanya dalam taklimat Krisis Tenaga Global di Putrajaya.


Akmal Nasrullah berkata perkembangan tersebut dijangka terus memberi tekanan kepada harga minyak, kos pengangkutan, tempoh penghantaran serta harga bahan mentah global, namun keadaan semasa masih dapat diurus melalui langkah mitigasi yang telah dilaksanakan.


"Kerajaan sedang memantau keadaan ini secara berterusan supaya sebarang kejutan luar tidak menjejaskan bekalan, harga dan kelangsungan perniagaan dalam negara," katanya.


Pasaran tenaga global kembali berdepan ketidaktentuan apabila harga minyak mentah Brent meningkat 5.9 peratus kepada AS$73.94 setong bagi tempoh 6 hingga 10 Julai berbanding AS$69.82 setong sebelumnya.


Akmal Nasrullah berkata kenaikan itu didorong kebimbangan pasaran terhadap keselamatan pelayaran serta risiko gangguan bekalan melalui Selat Hormuz, laluan penting yang menghubungkan pengeluar tenaga utama dunia dengan pasaran global.


"Pasaran global masih berdepan kekangan fizikal serta penyusutan inventori minyak yang berterusan. Sebab itu kerajaan akan kekal berwaspada terhadap sebarang perkembangan semasa," katanya.


Harga gas asli cecair (LNG) turut meningkat 7.9 peratus kepada AS$17.31 setong dalam tempoh sama berbanding AS$16.05 setong, susulan usaha pasaran global mengisi semula simpanan yang telah digunakan sebelum ini.


Bagaimanapun harga arang batu kekal stabil berikutan permintaan sederhana dari China dan India, disokong peningkatan pengeluaran serta inventori domestik kedua-dua negara.


"Bekalan petroleum negara pada masa ini kekal stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik," katanya.


Beliau berkata kerajaan akan memastikan jaminan bekalan tenaga sehingga Disember ini menerusi tiga strategi utama iaitu mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik serta memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.


Di sebalik tekanan luaran, Akmal Nasrullah berkata ekonomi Malaysia masih menunjukkan asas yang kukuh dengan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026, dipacu permintaan domestik, sektor perkhidmatan, pembuatan serta eksport elektrik dan elektronik.


Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan negara meningkat 18.3 peratus kepada hampir RM1.5 trillion dengan eksport berkembang 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion.


"Berdasarkan prestasi semasa, kerajaan yakin momentum pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan dan sasaran pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus bagi tahun 2026 mampu dicapai," katanya.


Beliau berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah memastikan permintaan domestik, pelaburan swasta dan prestasi eksport terus berkembang, di samping membendung tekanan harga kepada pengguna.


Mesyuarat MTEN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menilai kedudukan keterjaminan makanan negara dengan kerajaan memaklumkan bekalan barangan asas kekal stabil.


Menurut Akmal Nasrullah, stok penimbal beras negara mampu menampung keperluan domestik bagi tempoh enam bulan manakala harga beras putih tempatan dikekalkan tanpa kenaikan.


"Dalam keadaan global yang tidak menentu, keutamaan kita adalah memastikan bekalan asas tidak boleh terputus dan rakyat tidak boleh dibebani dengan kenaikan harga yang tidak munasabah," katanya.


Beliau berkata kerajaan turut mengambil kira tekanan yang dihadapi pesawah akibat perubahan cuaca dan peningkatan kos pengeluaran.


Sehingga 12 Julai, sebanyak RM45.98 juta telah diagihkan melalui insentif pembajakan kepada 118,908 pesawah di Semenanjung Malaysia.


Sementara itu, katanya MTEN turut memberi perhatian kepada cabaran sektor pembuatan khususnya industri plastik yang berdepan tekanan akibat gangguan rantaian bekalan global dan peningkatan kos bahan mentah.


Akmal Nasrullah berkata Persatuan Pembuatan Plastik Malaysia (MPMA) membangkitkan isu berkaitan kos bahan mentah, logistik, aliran tunai serta ketidaktentuan tempoh penghantaran.


"Bagi sesetengah syarikat, kesannya sudah mempengaruhi kontrak perniagaan, keputusan pelaburan dan pengurusan tenaga kerja," katanya.


Beliau berkata industri plastik mempunyai kesan besar kepada sektor hiliran kerana membekalkan keperluan kepada pembungkusan makanan, elektrik dan elektronik, automotif, peranti perubatan, pembinaan serta pertanian.


"MTEN mengambil maklum beberapa cadangan yang dikemukakan pihak industri dan telah membuat keputusan supaya MITI bersama Kementerian Ekonomi meneliti cadangan tersebut."


Jelas beliau penelitian itu mengambil kira kepentingan keseluruhan rantaian industri, keseimbangan fiskal serta daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang.


Akmal Nasrullah berkata kerajaan tidak melihat risiko global sebagai sudah berakhir kerana keadaan geopolitik boleh berubah dengan pantas.


"Perkembangan di Selat Hormuz menunjukkan keadaan boleh menjadi tegang pada bila-bila masa dan boleh berubah dengan mendadak," katanya.


Beliau berkata strategi kerajaan akan terus berasaskan empat keutamaan iaitu memastikan bekalan makanan, tenaga dan input industri terjamin; mengurangkan tekanan kos tanpa menjejaskan kepentingan negara; memperluas akses pasaran serta pelaburan berkualiti dan mempercepat penggunaan teknologi serta ekonomi kitaran.


"Daya tahan ekonomi negara tidak boleh bergantung kepada kos yang murah semata-mata. Kita perlu bergerak ke arah ekonomi yang lebih produktif, berteknologi dan mempunyai rantaian bekalan yang lebih kukuh," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page