top of page

Krisis Asia Barat: Bekalan ubat-ubatan negara stabil - KKM

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • Mar 24
  • 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, bekalan ubat-ubatan negara masih berada dalam situasi stabil dan terkawal susulan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.


Menerusi satu kenyataan kementerian itu berkata, berdasarkan penilaian semasa, kesan konflik yang berlaku ketika ini untuk jangka masa pendek adalah minimum dengan paras stok ubat fasiliti KKM disimpan antara satu hingga tiga bulan berdasarkan kepada keperluan penggunaan.


Kenyataan itu juga memaklumkan, bekalan disokong stok penimbal tambahan sehingga dua bulan di peringkat syarikat konsesi bagi ubat-ubatan yang dibekalkan melalui konsesi logistik.


"Secara keseluruhannya, pemantauan bekalan ubat dalam negara juga dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme sedia ada. Ia termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).


"Sehingga 22 Mac 2026, tiada peningkatan trend dalam pelaporan PRH melibatkan gangguan bekalan ubat-ubatan dikesan," kata kenyataan berkenaan.


Media pada Isnin melaporkan, ekonomi global kini berada bawah 'ancaman besar' akibat krisis tenaga yang berpunca daripada perang di Asia Barat.


Laporan itu turut menyebut, 'tiada negara akan terkecuali' daripada kesannya.


Sementara itu, KKM dalam kenyataan sama menyatakan komitmen untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani kesan konflik Asia Barat.


Ia termasuk penubuhan pasukan petugas terdiri daripada pihak industri farmaseutikal dan pemegang taruh berkaitan untuk tujuan pemantauan serta memastikan keterjaminan bekalan ubat terutama membabitkan ubat-ubatan bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) di Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page