Krisis bekalan air bersih di Sabah yang berlarutan sejak enam dekad lalu berpeluang diselesaikan secara tuntas pada era Perdana Menteri ke 10 atau PMX.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, PMX yang terkenal tidak bertolak ansur terhadap keselesaan hidup rakyat serta sanggup mengeluarkan berapa pun biaya untuk menyelesaikan masalah keperluan asas tidak akan menghampakan rakyat Sabah.
Namun katanya, walaupun dalam 2 tahun ini terdapat usaha mengatasi krisis air termasuk membina Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 di Tuaran, usaha tersebut bersifat jangka pendek.
Jelas beliau, pertambahan populasi rakyat Sabah akan menyebabkan berlaku kekurangan dalam beberapa tahun ke hadapan dan memerlukan pelan jangka panjang yang komprehensif.
"Saya menyambut baik saranan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menyarankan membina sebuah empangan di Papar bagi menampung bekalan air serta elektrik di Sabah. Ini merupakan inisiatif serampang dua mata kerana kedua-dua isu air dan elektrik merupakan masalah utama di Sabah.
"Kita akui cadangan ini bakal berdepan dengan bantahan dan tentangan penduduk kampung serta aktivis alam sekitar.
"Namun setelah empangan siap dibina, rakyat Sabah bukan sahaja tidak akan menghadapi masalah bekalan air malah penambahan stesen jana kuasa elektrik mampu menyelesaikan isu kekerapan 'blackout' yang menghantui Sabah sejak berdekad lama," katanya dalam satu kenyataan.
Razeef berkata, kerjasama baik antara Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempermudahkan lagi usaha menyelesaikan masalah yang memundurkan Sabah.
Malah katanya, lawatan kerja Perdana Menteri ke Sabah pada 31 Mei lalu dan telah meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pelaksanaan projek penggerudian air bawah tanah serta membuka pusat rawatan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menunjukkan tahap kesungguhan PMX memperbaiki kemudahan awam pada kadar segera.
"Keesokan harinya beliau mempengerusikan mesyuarat pasukan khas di Putrajaya bagi menangani masalah bekalan air Sabah dan Kelantan.
"Hasil daripada itu, Ketua Menteri Sabah memaklumkan sebanyak RM320.25 juta peruntukan awal telah diluluskan bagi memulakan pelbagai projek berkaitan bekalan air untuk negeri Sabah.
"Ini sebagai bukti pelaksanaan janji yang dibuat Perdana Menteri dalam ucapannya pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Mei lalu untuk memastikan masalah bekalan air dan elektrik Sabah diselesaikan dengan kadar segera.
"Saya melihat usaha Kerajaan Negeri kali ini benar-benar serius untuk menyelesaikan masalah yang ada. Ini termasuklah usaha lain seperti operasi besar-besaran mengesan dan memotong penyambungan saluran air haram di kawasan setinggan," katanya.
Sehubungan itu, kata Razeef, beliau yakin kesan awal dari usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan menangani masalah bekalan air Sabah akan mula dirasai setelah pembinaan beberapa Loji Rawatan Air.
Inisiatif jangka pendek itu, katanya, akan disusuli dengan inisiatif jangka panjang dengan pembinaan empangan yang mampu menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik di Sabah.
Commentaires